
KABUL, 13 Mac – Kerajaan Taliban mendakwa Pakistan telah mengebom depot bahan api milik syarikat penerbangan swasta, Kam Air berhampiran Lapangan Terbang Kandahar pada Jumaat sekali gus memburukkan lagi konflik antara kedua-dua negara jiran itu meskipun terdapat usaha pengantaraan oleh China.
- Serangan udara turut membabitkan kawasan perumahan, mengorbankan enam orang termasuk kanak-kanak serta mencederakan puluhan lain.
- Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid, menegaskan pihaknya akan bertindak balas terhadap pencerobohan tersebut.
- Sumber Pakistan mendakwa sasaran serangan termasuk kubu militan dan stor minyak, manakala Afghanistan dakwa melancarkan serangan dron ke Pakistan.
Serangan udara itu turut dilaporkan mengenai kawasan perumahan di Kabul dan wilayah timur Nangarhar, mengorbankan enam orang termasuk kanak-kanak, serta mencederakan puluhan yang lain.
Seorang penduduk, Murselin antara yang terselamat menceritakan detik ketika serangan berlaku.
“Kami diserang dari arah Pakistan kira-kira jam 12:30 tengah malam. Segalanya termasuk pintu dan tingkap hancur berkecai. Empat orang terbunuh dan ramai lagi cedera,” katanya.
Jurucakap kerajaan, Zabiullah Mujahid menegaskan bahawa pihaknya akan bertindak balas terhadap pencerobohan tersebut.
Menurut Mujahid, depot yang diserang itu membekalkan bahan api kepada syarikat penerbangan awam serta pesawat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Serangan ini dikhuatiri akan mencetuskan permusuhan lebih besar di rantau yang sedia terkesan oleh konflik serantau lain.
Sebelum ini, tiada serangan udara dilaporkan dalam tempoh seminggu selepas Beijing meningkatkan usaha damai, termasuk pesanan daripada Presiden Xi Jinping supaya pertempuran dihentikan.
Sumber keselamatan Pakistan pula mendakwa serangan terbaharu itu menyasarkan empat kubu persembunyian militan di Kabul, Kandahar dan wilayah Paktia dengan satu serangan menyasarkan kemudahan stor simpanan minyak di lapangan terbang Kandahar.
Sebagai tindak balas, Kementerian Pertahanan Afghanistan mendakwa telah melancarkan serangan dron ke atas pangkalan tentera Pakistan di bandar Kohat, utara negara itu yang mengakibatkan kerosakan besar.
Setakat ini, pihak tentera dan kerajaan Pakistan belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai laporan tersebut.-REUTERS