Operasi mencari diteruskan selepas tapak pelupusan runtuh di Cebu

Pasukan keselamatan meneruskan operasi mencari dan menyelamat di lokasi runtuhan / REUTERS

CEBU CITY, 10 Januari -Operasi mencari dan menyelamat diteruskan di Tapak Pelupusan Binaliw di Cebu, Filipina susulan runtuhan besar yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa dan menyebabkan puluhan pekerja masih hilang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi mencari dan menyelamat diteruskan di Tapak Pelupusan Binaliw menggunakan jentera berat.
  • Runtuhan mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa dan merosakkan struktur tapak pelupusan.
  • 12 mangsa dirawat di hospital; 36 masih dilaporkan hilang menurut rekod pihak berkuasa.
  • Ahli keluarga menunggu di lokasi, berharap jasad ditemui untuk pengebumian yang sempurna.

Runtuhan berlaku pada Khamis lalu ketika 110 pekerja berada di lokasi, mengakibatkan beberapa struktur dan kemudahan di tapak pelupusan itu rosak.

Pasukan penyelamat dikerahkan sejak awal pagi Sabtu untuk mengorek runtuhan sampah dan struktur menggunakan jentera berat, dengan kawasan operasi dikawal ketat oleh anggota keselamatan.

Datuk Bandar Cebu City, Nestor Archival memaklumkan, empat kematian disahkan setakat ini, manakala 12 mangsa lain telah dibawa ke hospital untuk rawatan.

Berdasarkan rekod pihak berkuasa pada Jumaat, seramai 36 orang masih dilaporkan hilang.

Di lokasi kejadian, ahli keluarga mangsa dilihat menunggu di sebalik garisan keselamatan ketika operasi mencari dijalankan.

Seorang ahli keluarga mangsa, Armando Honor berkata, kakak iparnya sempat keluar dari bangunan selepas menyedari sampah mula runtuh, sebelum masuk semula untuk mengambil sesuatu.

Honor mengakui harapan untuk menemukan mangsa terselamat semakin tipis, namun tetap berharap operasi pencarian dapat menemui mereka.

“Dia sudah keluar, tetapi masuk semula sekejap. Ketika itu runtuhan besar berlaku dan dia tidak sempat keluar lagi.

Sekurang-kurangnya kami mahu jasad mereka ditemui supaya dapat dikebumikan dengan sempurna,” katanya. -REUTERS