
JAKARTA, 15 Februari – ASEAN Cross-Cultural Religious Literacy Forum yang diperkenalkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, dicadang diteruskan tahun ini di Filipina.
- Cadangan meneruskan ASEAN Cross-Cultural Religious Literacy Forum di Filipina untuk memastikan kesinambungan program utama Malaysia.
- Forum dianjurkan kerjasama UIAM dan Institut Leimena untuk memperkasakan literasi agama rentas budaya di ASEAN.
- Sekretariat ASEAN bersetuju asasnya, pelaksanaan tertakluk perbincangan lanjut dengan pihak Filipina dan anggota ASEAN.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Sekretariat ASEAN bagi memastikan kesinambungan beberapa program utama yang dilaksanakan Malaysia sebelum ini.
Beliau berkata penganjuran forum itu merupakan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Institut Leimena, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Indonesia yang aktif menganjurkan program literasi agama dan rentas budaya (CCRL).
“Kita telah mencadangkan kepada pihak Sekretariat ASEAN supaya dialog peradaban ini dikembangkan di Filipina (selaku Pengerusi ASEAN tahun ini).
“Pihak Sekretariat ASEAN pada dasarnya bersetuju untuk kita kembangkan tetapi tertakluk kepada perbincangan selanjutnya dengan pihak Filipina,” katanya kepada Bernama pada Ahad.
Sebelum itu, Zamry yang tiba di Jakarta pada Sabtu bagi mengadakan lawatan dua hari di ibu negara Indonesia mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Prof Brian Yuliarto, di sini.
Zambry berkata beliau turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Institut Leimena bagi membincangkan langkah memperluas penganjuran dialog antara peradaban itu supaya dapat melibatkan semua negara anggota ASEAN.
Penganjuran forum itu merupakan satu usaha memperkasakan literasi agama rentas budaya di peringkat serantau. Ia merupakan langkah penting dalam merealisasikan aspirasi Visi Komuniti ASEAN 2045.-BERNAMA