
CHIANG MAI, 24 Februari – Pihak berkuasa Thailand mengesahkan kematian lebih 70 ekor harimau di pusat perlindungan harimau di wilayah Chiang Mai berpunca daripada jangkitan virus canine distemper serta komplikasi bakteria, sekali gus menolak spekulasi awal mengenai kemungkinan wabak selesema burung.
- Lebih 70 ekor harimau di Chiang Mai mati disebabkan jangkitan virus canine distemper dan komplikasi bakteria.
- Ujian PCR mengesan mycoplasma pada paru-paru dan CDV dalam organ dalaman haiwan berkenaan.
- Tiger Kingdom menutup fasiliti 14 hari untuk pembasmian kuman dan pemantauan rapi jabatan penternakan.
- Bangkai dilupuskan mengikut prosedur untuk mencegah penularan penyakit dan perdagangan haram.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Penternakan Thailand, Somchuan Ratanamungklanon, ujian makmal melalui kaedah PCR konvensional mengesan bakteria mycoplasma pada paru-paru haiwan berkenaan selain virus canine distemper (CDV) dalam organ dalaman.
Pihak berkuasa sebelum ini memberi maklum balas terhadap spekulasi bahawa harimau di Tiger Kingdom diberi makan ayam mentah yang dikhuatiri menjadi punca jangkitan.
Media tempatan melaporkan sebanyak 72 ekor harimau mati di dua fasiliti pusat perlindungan itu antara 8 hingga 19 Februari, masing-masing 21 ekor di tapak Mae Rim dan 51 ekor di tapak Mae Taeng, sekali gus mendorong siasatan dijalankan.
Tiger Kingdom yang merupakan tarikan pelancongan menempatkan lebih 200 ekor harimau di kemudahannya di Chiang Mai. Kematian 72 ekor dalam tempoh singkat itu disifatkan antara insiden kehilangan terbesar pernah direkodkan di pusat berkenaan.
Fasiliti tersebut kini ditutup sementara selama 14 hari bagi membolehkan kerja-kerja pembasmian kuman dijalankan, manakala pegawai Jabatan Penternakan ditempatkan untuk memantau keadaan harimau secara rapi.
Pihak berkuasa turut memaklumkan bangkai haiwan dilupuskan mengikut prosedur bagi mencegah sebarang penularan penyakit serta mengelakkan risiko penyalahgunaan untuk tujuan perdagangan haram.- REUTERS