Lebih 5,300 terperangkap di pusat penipuan siber sempadan Myanmar-Thailand

Foto REUTERS

BANGKOK, 23 Jun – Lebih 5,300 individu masih terperangkap di pusat penipuan dalam talian di kawasan sempadan Myanmar-Thailand, lebih setahun selepas operasi besar-besaran menyelamatkan ribuan mangsa dilakukan di rantau itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebanyakan mangsa warga asing dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan dan ditahan di lokasi dikawal kumpulan bersenjata Myanmar.
  • PBB memberi amaran pusat penipuan siber Asia Tenggara menjalankan operasi berskala besar menghasilkan keuntungan berbilion dolar setiap tahun.
  • Thailand mengetuai operasi serantau tahun lalu menyelamatkan kira kira 5,000 di Myawaddy, namun aktiviti haram masih berterusan dan pembebasan belum menyeluruh.

Menurut kumpulan hak asasi manusia Rangkaian Masyarakat Sivil bagi Bantuan Mangsa Pemerdagangan Manusia (CSNHTV), kebanyakan mangsa merupakan warga asing yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dan ditahan di beberapa lokasi yang dikawal kumpulan bersenjata Myanmar.

Antara yang terlibat termasuk kira-kira 1,600 warga China, 200 warga Myanmar, 20 warga Thailand serta warga dari pelbagai negara lain termasuk Malaysia, Filipina dan beberapa negara Afrika serta Amerika Latin.

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran bahawa pusat penipuan di Asia Tenggara, termasuk Myanmar dan Kemboja, menjalankan operasi penipuan siber berskala besar yang menjana keuntungan berbilion dolar setiap tahun.

Tahun lalu, Thailand mengetuai operasi serantau membanteras sindiket berkenaan dan menyelamatkan kira-kira 5,000 orang di kawasan Myawaddy, namun aktiviti haram itu dilaporkan masih berterusan.

CSNHTV berkata ramai mangsa masih terperangkap di kawasan yang dikawal oleh kumpulan militia Democratic Karen Buddhist Army, dengan usaha pembebasan masih belum menyeluruh.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.