Lebih 400 warga Indonesia dibebaskan dari sindiket penipuan siber di Kemboja

 Foto AFP

PHNOM PENH, 19 Januari – Lebih 400 warga Indonesia dibebaskan daripada rangkaian penipuan siber di Kemboja bulan ini, selepas kerajaan Phnom Penh mengumumkan tindakan tegas, susulan penahanan seorang individu yang disyaki sebagai ketua industri haram itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 400 warga Indonesia pulang dari kawasan penipuan di Kemboja selepas tindakan penguatkuasaan dijalankan.
  • Kedutaan Indonesia mempercepatkan pemulangan, menasihati rakyat agar tidak terlibat dengan jenayah di luar negara.
  • Penahanan figura utama sindiket dan penghantaran pulang seorang hartawan China memicu pembongkaran operasi penipuan.

Duta Indonesia ke Kemboja, Santo Darmosumarto, berkata ratusan warga asing meninggalkan kawasan penipuan sejak awal Januari, apabila sindiket melepaskan pekerja mereka, susulan operasi penguatkuasaan undang-undang.

Menerusi hantaran di Instagram, beliau memaklumkan dalam tempoh 1 hingga 18 Januari, seramai 440 warga Indonesia hadir ke kedutaan di Phnom Penh untuk pulang ke tanah air.

“Kerana tindakan tegas Kemboja akan diteruskan, kedutaan menjangkakan lebih ramai akan datang dari kawasan luar bandar. Kebanyakan mereka terlibat dalam penipuan dalam talian bertahun-tahun, manakala sebahagian baru tiba di Kemboja,” kata Santo.

“Ada yang masih memegang pasport mereka, manakala yang lain pasportnya dirampas oleh sindiket, ada juga yang tinggal melebihi tempoh, manakala yang lain masih mempunyai permit tinggal sah di Kemboja,” katanya sambil berharap mereka dapat menemui pekerjaan lain.

Beliau berkata Kedutaan Indonesia sedang mempercepatkan proses pemulangan dan menasihati rakyat Indonesia supaya tidak terlibat dengan aktiviti jenayah di luar negara.

Sementara itu, seorang remaja berusia 18 tahun dari Sumatra, Indonesia melarikan diri dari sebuah kompleks di bandar Bavet, Kemboja, selepas dipaksa menipu mangsa secara dalam talian selama lapan bulan tanpa gaji walaupun dijanjikan AS$600 sebulan.

Dalam pada itu, lebih 100 orang turut beratur di luar kedutaan China di Phnom Penh.

Jurucakap Kementerian Luar China menegaskan Beijing memberi perhatian serius terhadap keselamatan rakyatnya di luar negara.

Bulan ini, Kemboja menahan dan menghantar pulang hartawan China, Chen Zhi yang didakwa mengendalikan operasi penipuan dalam talian dari negara itu.-AFP

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan