Lebih 300 tentera AS sertai latihan antidadah di Colombia

Foto Hiasan

BOGOTA, 27 Oktober – Lebih 300 anggota tentera Amerika Syarikat (AS) akan menyertai latihan ketenteraan bersama pasukan Colombia bagi memperkukuh usaha membanteras penyeludupan dadah, dari 30 Oktober hingga 11 November ini.

Menurut kenyataan berasingan Kementerian Pertahanan Colombia dan pihak tentera AS, latihan itu membabitkan 350 anggota tentera AS dan 400 anggota tentera Colombia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan melibatkan 350 anggota AS dan 400 tentera Colombia, bertujuan memperkukuh usaha membanteras penyeludupan dadah.
  • Fokus latihan termasuk operasi memintas penyeludupan melalui laut, keselamatan darat, pertahanan siber dan kerjasama antara agensi.
  • Termasuk latihan pemindahan perubatan udara dan usaha meneutralkan dron yang dilengkapi bahan letupan.
  • Sebahagian besar latihan dijadualkan berlangsung di pangkalan tentera Tolemaida berhampiran Bogota.

Latihan berkenaan bertujuan menangani ancaman serantau, meningkatkan keupayaan operasi serta memperkukuh kesiapsiagaan kedua-dua pasukan.

Antara aspek yang diberi tumpuan ialah operasi memintas penyeludupan melalui laut, keselamatan darat, pertahanan siber dan kerjasama antara agensi, termasuk latihan pemindahan perubatan melalui udara.

Kementerian Pertahanan Colombia turut memaklumkan latihan itu merangkumi usaha meneutralkan dron yang dilengkapi bahan letupan, yang semakin digunakan kumpulan bersenjata di negara berkenaan.

Sebahagian besar latihan dijadual berlangsung di pangkalan tentera Tolemaida, kira-kira 100 kilometer dari Bogota.

Colombia merupakan pengeluar kokain terbesar dunia dan menjadi antara pusat utama pengeluaran serta penyeludupan dadah.

Sejak memegang jawatan pada Ogos lalu, Presiden Colombia, Abelardo de la Espriella, meningkatkan operasi terhadap kumpulan penyeludupan dadah yang beroperasi di negara itu.

Pada September lalu, tentera dikerahkan ke bandar pelancongan Santa Marta di pesisir Caribbean susulan peningkatan keganasan membabitkan kumpulan dadah.

Colombia turut menyertai pakatan antikartel ‘Shield of the Americas’ yang diterajui Presiden AS, Donald Trump, bersama kira-kira 20 negara lain di rantau berkenaan.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.