
TYRE, 9 Jun– Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dalam serangan Israel di bandar Tyre, selatan Lubnan.
- Serangan mengenai kawasan timur bandar, menyebabkan kepulan asap tebal kelihatan di lokasi letupan.
- Tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan seluruh bandar buat pertama kali, termasuk kawasan Kristian tempat perlindungan penduduk.
- Israel mendakwa Hezbollah disokong Iran berada di kawasan berkenaan tanpa bukti; pertempuran berlanjutan meskipun gencatan senjata diumumkan.
Ia antara insiden yang meragut paling banyak nyawa di bandar itu sejak konflik antara Israel dan Hezbollah tercetus pada Mac lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, serangan tersebut mengenai kawasan di bahagian timur bandar berkenaan.
Kepulan asap tebal dilaporkan kelihatan di lokasi kejadian selepas letupan berlaku.
Serangan tersebut dilancarkan beberapa jam selepas tentera Israel mengeluarkan arahan pemindahan kepada seluruh bandar Tyre buat pertama kali.
Arahan berkenaan turut melibatkan kawasan Kristian di bahagian barat laut bandar itu yang sebelum ini tidak pernah menerima amaran serupa.
Kawasan tersebut menjadi tempat perlindungan bagi penduduk yang berpindah dari lokasi lain sejak konflik berlarutan.
Menerusi hantaran di media sosial minggu lalu, tentera Israel mendakwa anggota Hezbollah yang disokong Iran berada di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, tiada bukti dikemukakan bagi menyokong dakwaan tersebut.
Israel turut memberi amaran bahawa tindakan lanjut akan diambil sekiranya kumpulan itu tidak meninggalkan kawasan berkenaan.
Konflik terbaharu di Lubnan tercetus selepas Hezbollah melancarkan serangan roket ke arah Israel sebagai tanda sokongan kepada sekutunya, Iran.
Israel kemudian bertindak balas dengan serangan udara dan operasi darat di selatan Lubnan.
Amerika Syarikat (AS) mengumumkan gencatan senjata pada 16 April lalu, namun pertempuran di selatan Lubnan masih berterusan.