
JAKARTA, 1 April– Indonesia pada Selasa mengumumkan pelaksanaan catuan bahan api dan arahan bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam sebagai langkah memelihara stok tenaga susulan lonjakan harga global akibat konflik di Asia Barat.
- Had pembelian petrol 50 liter sehari bagi setiap kenderaan persendirian untuk memastikan kelestarian pengagihan bahan api.
- Penjawat awam diwajibkan BDR setiap Jumaat; penggunaan kenderaan rasmi dikurangkan 50% dan perjalanan kerja dipotong sehingga 70%.
- Kerajaan jangka penjimatan 121 hingga 130 trilion rupiah; subsidi bahan api besar dan mungkin perlu disemak semula kerana tekanan fiskal dan harga minyak.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Airlangga Hartarto berkata, bagi memastikan kelestarian pengagihan bahan api, kerajaan akan mengehadkan pembelian petrol kepada 50 liter sehari bagi setiap kenderaan persendirian dan penjawat awam pula diwajibkan BDR pada setiap Jumaat.
Selain itu, penggunaan kenderaan rasmi akan dikurangkan sebanyak 50 peratus manakala kekerapan perjalanan kerja pegawai kerajaan dipotong sehingga 70 peratus.
“Langkah ini bagaimanapun tidak melibatkan sektor kritikal seperti kesihatan, keselamatan, tenaga, serta bekalan air dan makanan,” jelas beliau.
Kerajaan menganggarkan inisiatif yang berkuat kuasa Rabu ini mampu menjimatkan antara 121 hingga 130 trilion rupiah (AS$7.1 – AS$7.6 bilion) dan status pelaksanaan itu akan disemak semula setiap dua bulan.
Indonesia, yang merupakan ekonomi terbesar di Asia Tenggara, memberikan subsidi bahan api yang besar mencecah AS$12.3 bilion iaitu kira-kira 5% daripada keseluruhan belanjawan tahunan 2026.
Pemerhati ekonomi berpendapat Jakarta mungkin terpaksa menilai semula subsidi tersebut memandangkan undang-undang menetapkan defisit fiskal perlu kekal di bawah 3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Tambahan pula, pengiraan subsidi 2026 sebelum ini berasaskan harga minyak dunia AS$70 dolar setong, namun kini ia telah melonjak melebihi AS$100 dolar setong. -AFP