Kotak hitam dipercayai milik pesawat IAT terlibat dalam nahas ditemukan

Kotak hitam dipercayai milik pesawat ATR 42-500 yang terhempas di kawasan Gunung Bulusaraung/ANTARA

JAKARTA, 21 Januari – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama telah menemukan sebuah kotak hitam dipercayai milik pesawat ATR 42-500 Indonesia Air Transport (IAT) yang mengalami nahas di Bukit Bulusaraung dalam Daerah Maros, Sulawesi Selatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kotak hitam ditemui dalam keadaan baik di bahagian ekor pesawat ATR 42-500 yang terhempas.
  • Barang ditemui akan diserahkan kepada KNKT untuk pengesahan rasmi.
  • Proses membawa keluar kotak hitam mengambil kira-kira tiga jam ke pusat operasi.
  • Tiga daripada 10 mangsa ditemukan, dua dibawa keluar, satu lagi sedang dipindahkan.

Pegawai kanan tentera yang terlibat dalam operasi SAR, Kolonel Infantri Dody Triyo Hadi berkata, kotak hitam berkenaan ditemukan dalam keadaan baik dan masih sempurna di dalam bahagian ekor pesawat itu.

“Alhamdulillah, pagi ini kami berjaya sampai ke lokasi dan memeriksa bahagian ekor pesawat. Di dalamnya, kotak hitam masih berada pada kedudukannya. Secara visual, berdasarkan rakaman video yang dihantar oleh pasukan di lokasi, apa yang kami lihat dipercayai adalah kotak hitam.

“Kami akan menyerahkannya kepada Jawatankuasa Nasional Keselamatan Pengangkutan (KNKT) yang akan mengesahkan sama ada ia benar-benar kotak hitam pesawat itu,” katanya dalam sidang media yang dikongsi melalui YouTube pada Rabu.

Pesawat yang membawa tujuh kru dan tiga penumpang itu dilaporkan terputus hubungan dengan kawalan trafik udara kira-kira tengah hari Sabtu di ruang udara Daerah Maros ketika dalam perjalanan dari Yogyakarta ke Makassar.

Kementerian Hal Ehwal Marin dan Perikanan Indonesia pada Sabtu mengesahkan bahawa pesawat yang hilang itu merupakan pesawat peronda miliknya.

Dody berkata, proses membawa keluar kotak hitam tersebut mengambil masa kira-kira tiga jam untuk sampai ke pusat operasi bagi proses pengesahan.

Sejak operasi SAR bermula Sabtu lepas, tiga mayat daripada keseluruhan 10 mangsa telah ditemukan, dengan dua daripadanya telah berjaya dibawa keluar.

Satu lagi mayat ditemukan pada 12.30 tengah hari waktu tempatan pada Rabu dan kini dalam proses pemindahan.

Manakala satu daripada mayat dikenal pasti sebagai Florencia Lolita, seorang kru kabin dan jasadnya telah diserahkan kepada pihak keluarga pada Rabu.-BERNAMA