
SEOUL, 27 Februari – Kerajaan Korea Selatan akhirnya bersetuju untuk berkongsi data peta dengan Google.
- Kerajaan membenarkan perkongsian data peta dengan Google selepas hampir dua dekad sekatan.
- Kebenaran disertai syarat keselamatan ketat, termasuk penyamaran semua kemudahan tentera dan keselamatan negara.
- Google mesti mengaburkan fasiliti sensitif, membuang koordinat tertentu dan mengehadkan pendedahan wilayah.
Persetujuan itu sekali gus membuka laluan kepada fungsi penuh Google Maps di negara itu selepas hampir dua dekad sekatan.
Kementerian Tanah korea Selatan mengumumkan kebenaran tersebut diberikan bersama “syarat keselamatan yang ketat”, termasuk keperluan menyamarkan semua kemudahan tentera dan keselamatan negara daripada paparan awam.
Langkah berkenaan menjadikan Korea Selatan tidak lagi berada dalam kelompok kecil negara seperti China dan Rusia yang sebelum ini menghadkan fungsi penuh Google Maps atas faktor keselamatan.
Menurut kementerian, fungsi Street View serta imejan sejarah (time-series imagery) pada Google Earth mesti memastikan semua fasiliti tentera dan keselamatan Korea Selatan ditutup atau dikaburkan.
Selain itu, Seoul turut mengarahkan Google supaya membuang paparan koordinat serta mengenakan sekatan terhadap pendedahan wilayah Korea Selatan dalam perkhidmatan global Google Maps dan Google Earth.
Kerajaan sebelum ini berulang kali menolak permintaan Google untuk mengakses data peta berketepatan tinggi, dengan alasan ia boleh mendedahkan lokasi sensitif dan melemahkan pertahanan terhadap ancaman dari Korea Utara.
Google berhujah bahawa sekatan tersebut menghadkan keupayaannya menawarkan perkhidmatan pemetaan menyeluruh termasuk maklumat pengangkutan awam, peta satelit dan panduan arah pemanduan secara tepat.
Dengan keputusan terbaharu ini, pengguna di Korea Selatan berpotensi menikmati pengalaman navigasi yang lebih lengkap berbanding sebelum ini. -AFP