
JAKARTA, 1 Mac – Pemerintah Indonesia diingatkan supaya tidak mengambil peranan sebagai orang tengah dalam konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang ketika ini semakin berisiko serta tidak menentu.
- Pemerintah diingatkan jangan ambil peranan orang tengah dalam konflik AS, Israel dan Iran kerana situasi kini berisiko dan tidak menentu.
- Usaha mediasi dianggap tidak realistik dan boleh meletakkan Indonesia dalam kedudukan sukar diplomatik serta politik dalam negeri.
- Hubungan Jakarta-Tehran tidak cukup rapat untuk memudahkan peranan juru damai secara berkesan.
- Indonesia disarankan tegaskan pendirian berprinsip selaras dasar luar bebas dan aktif, menentang pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Bekas Duta Besar Indonesia ke Amerika Syarikat, Dino Patti Djalal berkata, usaha mediasi dalam keadaan semasa bukan sahaja tidak realistik, malah boleh meletakkan pemerintah dalam kedudukan sukar dari sudut diplomatik dan politik dalam negeri.
Menerusi rakaman video yang dikongsi di media sosial, beliau berkata kuasa-kuasa besar lazimnya tidak mahu campur tangan pihak ketiga ketika melancarkan operasi ketenteraan.
Selain itu, beliau berpandangan hubungan strategik antara Jakarta dan Tehran pada ketika ini tidak cukup rapat untuk membolehkan peranan tersebut dilaksanakan dengan berkesan.
“Usaha mediasi dalam keadaan ini lebih sukar kerana ia memerlukan Presiden Prabowo bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai pihak yang melancarkan serangan terhadap Iran.
“Dari sudut politik, diplomatik dan juga logistik, perkara itu amat sukar dilaksanakan dan boleh menjadi ‘political suicide’ atau bunuh karier politik kepada Presiden Prabowo di dalam negeri,” katanya.
Beliau berpandangan pendekatan lebih wajar bagi pemerintah Indonesia ketika ini ialah menegaskan pendirian berprinsip selaras dengan dasar luar bebas dan aktif, tanpa perlu mencari peranan sebagai juru damai.
Menurutnya, Indonesia perlu berani menyatakan pendirian secara jelas terhadap sebarang tindakan yang bercanggah dengan prinsip keamanan dan undang-undang antarabangsa.
“Yang paling penting bagi Indonesia bukan berperanan sebagai juru damai dalam konflik ini kerana ia tidak realistik, tetapi berani menyatakan pendirian Indonesia secara jelas dan tegas.
“Kita harus berani menyatakan apa yang benar itu benar dan apa yang salah itu salah, apa pun risikonya,” katanya.
Dino turut menyifatkan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran sebagai bercanggah dengan prinsip perdamaian serta norma undang-undang antarabangsa yang sebelum ini ditegaskan oleh Presiden Prabowo.