
SEOUL, 9 Mac – Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung pada Isnin berkata kerajaan akan mengehadkan harga bahan api domestik buat kali pertama dalam hampir 30 tahun bagi mengekang kenaikan harga susulan konflik Asia Barat yang menyebabkan harga minyak mentah global melonjak.
- Kerajaan akan segera melaksanakan sistem harga maksimum bagi produk petroleum untuk menangani kenaikan harga yang berlebihan.
- Program penstabilan pasaran 100 trilion won boleh diperluas; kerajaan dan bank pusat digesa ambil langkah mengurus ketidaktentuan kewangan dan mata wang.
- Saham menjunam lapan peratus mencetuskan pemutus litar; won susut melepasi paras satu peratus sebelum pulih kepada kira-kira 1,493.5 won.
Berucap pada mesyuarat kecemasan mengenai kesan krisis Asia Barat, Lee berkata kerajaan akan “segera memperkenalkan dan melaksanakan secara tegas” sistem harga maksimum bagi produk petroleum yang kebelakangan ini menyaksikan “kenaikan harga yang berlebihan”.
Beliau turut memaklumkan bahawa Korea Selatan akan mencari sumber tenaga alternatif selain bekalan yang dihantar melalui Selat Hormuz.
Program penstabilan pasaran bernilai 100 trilion won atau kira kira 66.94 bilion dolar Amerika Syarikat boleh diperluaskan jika perlu. Beliau juga menggesa kerajaan dan bank pusat menyediakan langkah tambahan bagi menangani ketidaktentuan dalam pasaran kewangan serta pertukaran asing.
Sementara itu, saham Korea Selatan menjunam lapan peratus pada Isnin sehingga mencetuskan mekanisme pemutus litar buat kali kedua bulan ini susulan konflik yang semakin memuncak di Asia Barat. Mata wang won turut susut lebih satu peratus menghampiri paras psikologi utama 1,500 won berbanding satu dolar Amerika Syarikat.
Selepas kenyataan Lee, won mengurangkan kerugian kepada 1,493.5 won bagi setiap dolar Amerika berbanding paras terendah sesi dagangan pada 1,499.2 won.-REUTERS