Kim Jong Un ‘pecat’ tiga pegawai peribadi, bimbang cubaan bunuh

Gambar yang diambil pada 31 Disember 2025 memaparkan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, menyaksikan persembahan Tahun Baharu bersama anak perempuannya, Kim Ju Ae di Pyongyang/STR / KCNA VIA KNS / AFP

SEOUL, 13 Januari- Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un didakwa menggantikan tiga pegawai kanan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan peribadinya, menurut Seoul pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kim Jong Un menggantikan tiga pegawai kanan keselamatan peribadi, menunjukkan rombakan dalam agensi keselamatan negara.
  • Perubahan dipercayai berkaitan kebimbangan meningkat tentang kemungkinan cubaan bunuh sejak penghantaran tentera ke Rusia.
  • Kejadian antarabangsa seperti penangkapan Presiden Venezuela dianggap menambah ketakutan Pyongyang terhadap ancaman luaran.

Langkah itu mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan cubaan pembunuhan.

Kementerian Penyatuan Korea Selatan memaklumkan tiga agensi negara yang menguruskan keselamatan Kim kini mempunyai ketua baharu dengan rombakan itu dikesan semasa perarakan ketenteraan pada Oktober lalu.

Perubahan di Komando Pengawal Peribadi khususnya yang mengendalikan langkah keselamatan terhadap serangan dron atau elektronik dipercayai berkait dengan keputusan Kim menghantar tentera Korea Utara bagi membantu perang Rusia di Ukraine.

“Perubahan corak pasukan keselamatan Kim dikesan sejak Oktober 2024 ketika beliau mengerahkan tentera Korea Utara ke Rusia,” kata penganalisis Institut Penyatuan Nasional Korea, Hong Min kepada AFP.

“Beliau mungkin menilai wujud risiko cubaan pembunuhan membabitkan pihak Ukraine susulan tumpuan antarabangsa yang meningkat akibat penempatan itu,” tambahnya.

Penangkapan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro oleh Amerika Syarikat bulan ini turut dipercayai meningkatkan kebimbangan keselamatan di Pyongyang. -AFP