
TEHRAN, 10 Januari – Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei menggesa rakyat mengekalkan perpaduan ketika protes semakin meningkat di seluruh negara.
- Khamenei menyeru rakyat Iran kekal bersatu ketika protes meluas meningkat di seluruh negara.
- Beliau menuduh sebahagian penunjuk perasaan bertindak untuk menguntungkan Presiden AS, Donald Trump.
- Iran menolak campur tangan Washington, menghantar surat ke Majlis Keselamatan PBB menentang tindakan AS.
- Protes dipicu kejatuhan nilai rial, kesukaran ekonomi, disertai pertembungan maut dan gangguan internet meluas.
Beliau membuat kenyataan itu dalam ucapan televisyen kepada rakyat Iran pada Jumaat.
Khamenei menuduh sebahagian penunjuk perasaan merosakkan jalan sendiri demi menyenangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Beliau menggesa Trump menumpukan perhatian kepada masalah dalam negaranya sendiri.
Iran katanya tidak akan berundur berdepan “perosak” yang mengancam kestabilan negara.
Negara itu telah menghantar surat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyatakan pendirian menolak tindakan Washington yang didakwa menjejaskan kestabilan dan melanggar undang-undang antarabangsa.
Duta Iran ke PBB menuduh Washington menyemarakkan kekacauan dalam negara itu.
Sementara itu, Trump berkata, Amerika akan campur tangan jika Iran terus membunuh penunjuk perasaan.
Beliau bagaimanapun menolak keperluan menghantar tentera ke Iran ketika ini.
Protes tercetus akibat kejatuhan nilai rial dan kesukaran ekonomi Iran sejak akhir Disember.
Beberapa pertembungan maut antara polis dan perusuh turut dilaporkan.
Iran kini mengalami gangguan internet secara meluas dan beberapa penerbangan antarabangsa, termasuk dari Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dibatalkan.