Kempen pilihan raya AS: Strategi Trump boleh makan diri

Donald Trump, berucap pada kempen di Perry, Georgia, bagi menyokong calon Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal AS/Foto AFP

WASHINGTON, 27 Oktober – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menjadikan dirinya sebagai tumpuan utama kempen pilihan raya pertengahan penggal pada 3 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Populariti Trump merosot dan boleh menjejaskan peluang Parti Republikan, kata penganalisis Universiti George Washington.
  • Trump aktif berkempen di seluruh negara, mengkritik Demokrat dan menawarkan ganjaran AS$1 juta untuk maklumat penipuan pilihan raya.
  • Beliau mengarahkan tindakan undang-undang awal untuk menghalang keputusan pemilihan Senat di Alaska.
  • Janji pembayaran AS$5,000 kepada setiap orang dewasa jika Republikan kekal kuasa menimbulkan persoalan sumber pembiayaan anggaran AS$1 trilion.

Namun popularitinya yang merosot dikhuatiri menjejaskan peluang Parti Republikan.

Trump giat mengadakan perhimpunan di seluruh negara bagi menggerakkan sokongan penyokong setianya, selain mengkritik Parti Demokrat.

Trump turut mengumumkan ganjaran AS$1 juta sebagai ganjaran memberikan maklumat sekiranya Republikan tewas akibat penipuan pilihan raya

Minggu lalu, beliau turut mengarahkan tindakan undang-undang awal bagi menghalang keputusan pemilihan Senat di Alaska.

Bagaimanapun, penganalisis dari Universiti George Washington, Peter Loge, berpandangan penglibatan Trump dalam kempen mungkin merugikan partinya berikutan tahap ketidakpopularannya ketika ini.

Menurutnya, penyokong tegar Trump mungkin tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan Republikan.

Trump turut berdepan kritikan susulan retorik keras terhadap Demokrat, termasuk melabel calon Senat Abdul El-Sayed, sebagai “jihadis”.

Sementara itu, untuk menarik sokongan pengundi, Trump turut menjanjikan bayaran 5,000 dolar Amerika kepada setiap rakyat dewasa sekiranya Republikan mengekalkan penguasaan Kongres.

Bagaimanapun, cadangan itu menimbulkan persoalan mengenai sumber pembiayaan dan pelaksanaannya yang dianggarkan mencecah AS$1 trilion.

Pilihan raya itu bakal menentukan sama ada Republikan dapat mengekalkan penguasaan Kongres atau Demokrat berjaya merampas satu atau kedua-dua dewan.

Pemilihan itu sekali gus mempengaruhi baki tempoh pentadbiran Trump. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.