Keluarga tahanan politik Venezuela Tuntut pembebasan penuh

Keluarga tahanan yang ditahan di pusat tahanan Policía Nacional Bolivariana (PNB) Zon 7 memulakan mogok lapar pada Sabtu/ REUTERS

CARACAS, 15 Februari – Keluarga tahanan yang ditahan di pusat tahanan Policía Nacional Bolivariana (PNB) Zon 7 memulakan mogok lapar pada Sabtu bagi menuntut pembebasan semua tahanan politik seperti yang dijanjikan Jorge Rodríguez, ketua badan perundangan negara itu sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keluarga memulakan mogok lapar tanpa had menuntut pembebasan penuh tahanan politik seperti dijanjikan Jorge Rodríguez.
  • Sikap kecewa muncul selepas janji pembebasan tidak ditepati, menyebabkan tindakan protes berterusan di luar pusat tahanan.
  • Sejumlah 17 tahanan dibebaskan; keluarga percaya tekanan protes menyumbang namun tuntutan keseluruhan belum dipenuhi.

Rodríguez dilaporkan memberi jaminan kepada para keluarga semasa lawatannya pada 6 Februari bahawa semua tahanan politik akan dibebaskan antara Selasa (10 Februari) dan Jumaat (13 Februari) melalui kelulusan undang-undang amnesti. Apabila janji itu tidak ditunaikan, para keluarga mengambil keputusan untuk memulakan mogok lapar tanpa tarikh tamat.

“(Mogok lapar ini) tanpa had, sehingga saudara kami dibebaskan sepenuhnya seperti yang dijanjikan oleh Encik Jorge Rodríguez pada hari beliau datang melawat kami pada 6 Februari 2026.

“Beliau berjanji, antara Selasa dan Jumaat semua tahanan politik akan dibebaskan. Apabila kami melihat janji itu tidak ditepati, kami membuat keputusan untuk mogok lapar kerana situasi ini sudah tidak tertanggung,” kata Petra Vera, seorang keluarga tahanan.

Menurut laporan media dan kumpulan hak asasi manusia, termasuk organisasi bukan kerajaan yang memantau perkara itu, seramai 17 tahanan politik telah dibebaskan pada Sabtu.

Keluarga tahanan percaya pembebasan sebahagian itu hasil daripada tekanan berterusan mereka, walaupun sebahagian tahanan lain juga turut dilaporkan melakukan mogok lapar di dalam pusat tahanan.

Para penunjuk perasaan terus berkhemah di luar pusat tahanan tersebut, dengan sesetengah daripada mereka berkunci antara satu sama lain sambil memegang plakad menuntut kebebasan untuk semua tahanan politik serta kelulusan undang-undang Amnesti yang dicadangkan.- REUTERS