Jenama motosikal China kuasai pasaran Eropah

CFMOTO V4SR keluaran China pada Pameran Motosikal EICMA di Milan/ AFP

RHO, 7 November – Seperti perkembangan kereta elektrik, jenama motosikal China semakin mengorak langkah ke pasaran Eropah menerusi model berprestasi tinggi pada harga lebih kompetitif, sekali gus mula mencipta nama di rantau itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • China jadi pembekal kedua terbesar motosikal ke EU pada 2025, menguasai 27.1 peratus import bernilai satu bilion euro.
  • Perkembangan ketara dalam motosikal berkapasiti melebihi 250cc, daripada tujuh peratus pada 2019 kepada hampir satu pertiga kini.
  • Jenama China seperti CFMoto, Zontes dan QJMotor mencatat pertumbuhan pesat; CFMoto kini jenama kelima terbesar di Perancis.

Pada Pameran Motosikal EICMA di Milan, pameran motosikal terbesar di Eropah, pengunjung dilihat berpusu-pusu mengunjungi reruai CFMoto, antara jenama utama China yang dipasarkan di Eropah, pada Jumaat.

Syarikat yang berpangkalan di Hangzhou itu mula mendapat perhatian selepas menghasilkan enjin dan memasang model motosikal untuk KTM dari Austria, sebelum meraih kejuaraan Moto3 (250cc) pada 2024 dan 2026.

Peminat jenama BMW, Honda dan Ducati hadir ke Milan untuk melihat model berkuasa tinggi yang dilengkapi sayap aerodinamik, selain motosikal lasak yang ditunggangi duta baharu jenama itu, pelumba dari Sepanyol, Mario Roman.

“Reka bentuknya cantik. Mungkin bahan yang digunakan tidak sama sepenuhnya seperti pengeluar Jepun, tetapi dengan harga sebegini, ia berbaloi,” kata Renato Polistene, 64, seorang tukang dari Itali yang mengunjungi reruai berkenaan.

Polistene yang kini menunggang motosikal KTM berkata, beliau tidak menolak kemungkinan memilih motosikal buatan China untuk pembelian seterusnya, terutama apabila harga jenama lain meningkat dengan ketara selain menawarkan terlalu banyak pilihan tambahan yang perlu dibayar berasingan daripada harga asas.

Pada 2025, China muncul sebagai pembekal motosikal kedua terbesar kepada Kesatuan Eropah (EU), selepas Jepun, dengan menguasai 27.1 peratus daripada keseluruhan import bernilai satu bilion euro, menurut laporan Persatuan Pengeluar Motosikal Eropah (ACEM) yang diterbitkan pada Khamis.

Pertumbuhan itu amat ketara dalam segmen motosikal berkuasa tinggi yang sebelum ini didominasi pengeluar Eropah dan Jepun.

Dalam tempoh enam tahun, China berubah daripada pembekal kecil kepada pemain utama dalam pasaran Eropah apabila kini menguasai hampir satu pertiga daripada import motosikal berkapasiti enjin melebihi 250cc, berbanding hanya tujuh peratus pada 2019.

Media Eropah yang sebelum ini melihat motosikal buatan China dengan penuh skeptikal kini mula mengujinya seperti jenama lain dalam ulasan perbandingan.

Majalah permotoran Britain, Motorcycle News, menyifatkan 2026 sebagai “tahun berlakunya perubahan”.

Di reruai jenama Cyclone pula, sebuah kumpulan muzik mempersembahkan lagu “Volare” dengan iringan muzik kuat, manakala petugas promosi mengagihkan baju-T tertera nama jenama di bawah Zonsen Group, syarikat dari Chongqing yang dikenali sebagai pusat industri kenderaan dua roda China.

Satu lagi syarikat gergasi China, Qianjiang Motorcycle menerusi jenama QJMotor, turut mempunyai hubungan rapat dengan Itali selepas mengambil alih salah satu jenama kebanggaan negara itu, Benelli, pada 2005.

Selain jenama besar yang sudah lama bertapak, beberapa syarikat pemula turut memasuki pasaran, antaranya ZXMoto yang diasaskan Zhang Xue, bekas mekanik dan pelumba motosikal.

Menerusi penyertaannya dalam Rali Dakar, beliau sebelum ini berjaya melonjakkan satu lagi jenama, Kove, ke persada antarabangsa sebelum menubuhkan syarikat sendiri.

Alessia, 27, seorang anggota polis dari Turin yang enggan mendedahkan nama penuhnya, pada awalnya hadir untuk melihat model Triumph yang ingin dibelinya sebelum tertarik untuk singgah di reruai ZXMoto.

“Saya benar-benar kagum dengan reka bentuknya,” katanya kepada AFP sambil menyifatkan kemunculan jenama baharu dalam pasaran mampu mencetuskan rasa ingin tahu pengguna.

Di pasaran Perancis, perkembangan itu disifatkan sebagai “revolusi sebenar dari Timur”, menurut Presiden Bahagian Kenderaan Dua Roda Persatuan Automotif Perancis, Mobilians, Bertrand Mace dalam satu kenyataan media.

Pada Oktober, CFMoto muncul sebagai jenama kelima terbesar di pasaran Perancis, mengatasi pemain lama seperti Triumph, Suzuki, KTM dan Yamaha.

Mengikut perkembangan itu, jualan Zontes meningkat dua kali ganda dalam tempoh setahun, manakala QJMotor dan Voge turut mencatat pertumbuhan pesat, menurut Mobilians.

“Harga yang kompetitif, digabungkan dengan peningkatan ketara dari segi kualiti dan kedudukan produk dalam pasaran, berjaya menarik perhatian pengguna yang kini berdepan tekanan terhadap kuasa beli,” kata Mace.

Di reruai CFMoto, beberapa eksekutif daripada sebuah jenama utama Itali turut berkunjung pada Rabu untuk melihat model motosikal sport berkelajuan tinggi keluaran syarikat China itu.

“Kita perlu melihat harganya terlebih dahulu, tetapi dalam jangka panjang, ia berpotensi memberi kesan kepada perniagaan kami,” kata salah seorang pelawat pada pameran itu.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.