Jambatan utama Iran dibom, lapan terbunuh 95 cedera

Jambatan B1 rosak selepas serangan udara berhampiran Tehran, Iran/Foto REUTERS

TEHRAN, IRAN, 4 April – Sekurang-kurangnya lapan orang maut manakala 95 lagi cedera dalam serangan udara yang merosakkan jambatan utama menghubungkan Tehran ke Karaj.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebahagian jambatan B1 runtuh selepas dibom, projek belum dibuka dan tiada kepentingan ketenteraan.
  • Mangsa termasuk orang awam dan pekerja projek; ramai pulang dari sambutan Sizdah Bedar.
  • Menteri Luar menyifatkan serangan sebagai bukti "keruntuhan moral musuh" dan menegaskan tidak akan melemahkan negara.
  • Konflik minggu kelima; Iran laporkan lebih 1,900 kematian, AS sahkan 13 tentera maut, Trump ancam serangan lanjut.

Mangsa terdiri daripada orang awam yang berada di kawasan itu, termasuk mereka yang pulang dari sambutan ‘Sizdah Bedar’.

Sebahagian jambatan yang dikenali sebagai B1 itu dilaporkan runtuh selepas dibom, walaupun projek tersebut belum dibuka dan tidak mempunyai kepentingan ketenteraan.

Seorang pegawai pembinaan berkata beberapa pekerja projek turut terkorban dalam kejadian berkenaan.

Menteri Luar Iran menyifatkan serangan itu sebagai bukti “keruntuhan moral musuh” dan menegaskan ia tidak akan melemahkan negara itu.

Pada Khamis, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menerusi platform Truth Social berkata jambatan terbesar di Iran telah runtuh dan memberi amaran lebih banyak serangan akan menyusul.

Beliau turut menggesa Iran supaya segera membuat perjanjian sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

AS dan Israel sebelum ini melancarkan serangan ke atas Iran pada 28 Februari, sebelum Tehran bertindak dengan serangan balas ke atas Israel dan aset AS di rantau itu.

Konflik berkenaan kini memasuki minggu kelima, dengan Iran melaporkan lebih 1,900 kematian sejak serangan bermula.

AS pula mengesahkan sekurang-kurangnya 13 anggota tenteranya terbunuh.

Trump berkata AS akan meningkatkan serangan dalam tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.

Beliau turut menyatakan operasi ketenteraan boleh diselesaikan dalam tempoh tersebut, walaupun Iran menafikan sebarang rundingan sedang berlangsung antara kedua-dua pihak.

Dalam perkembangan sama, Trump mengkritik sekutu NATO kerana gagal membantu mengawal Selat Hormuz dan memberi bayangan kemungkinan AS menarik diri daripada pakatan itu. – VIORY