Iran dakwa serang kapal tangki minyak Amerika di Selat Hormuz

Foto REUTERS

ISTANBUL, 12 Mac – Pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran pada Khamis menyatakan bahawa ia telah menyerang sebuah kapal tangki minyak Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz selepas kapal itu didakwa mengabaikan amaran berulang kali, lapor Anadolu Ajansi (AA).

RINGKASAN BERITA AI
  • IRGC berkata lalu lintas maritim di Teluk Parsi dan Selat Hormuz kini menghadapi risiko semakin meningkat dan menuding jari kepada AS.
  • IRGC menggesa kapal komersial mematuhi peraturan maritim Iran untuk mengelakkan menjadi sasaran peluru berpandu.
  • Tehran mengumumkan penutupan Selat Hormuz pada 2 Mac, meningkatkan kos penghantaran dan insurans serta menaikkan harga minyak global.
  • Serangan udara AS-Israel sejak 28 Feb mengorbankan ramai; Iran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu ke beberapa negara.

IRGC dalam satu kenyataan berkata kapal tangki minyak Safesea Vishnu, yang dimiliki oleh sebuah syarikat AS dan mengibarkan bendera Kepulauan Marshall, telah diserang di utara selat itu pada awal pagi selepas gagal mematuhi amaran yang diberikan.

Pasukan Pengawal itu menyatakan bahawa lalu lintas maritim di Teluk Parsi dan Selat Hormuz kini menghadapi risiko yang semakin meningkat, sambil meletakkan tanggungjawab terhadap situasi berkenaan kepada AS.

Ia turut menggesa kapal-kapal komersial untuk mematuhi peraturan maritim Iran bagi mengelakkan daripada menjadi sasaran peluru berpandu.

Pada 2 Mac, Tehran mengumumkan penutupan Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap perang berterusan AS-Israel terhadap Iran. Langkah itu telah menyebabkan kos penghantaran dan insurans melambung tinggi serta melonjakkan harga minyak global, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kesan ekonomi di seluruh dunia.

Serangan itu berlaku ketika AS dan Israel meneruskan serangan udara ke atas Iran yang bermula pada 28 Feb, yang telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang dan mencederakan lebih 10,000 yang lain.

Tehran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Iraq, serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.- BERNAMA