
PARIS, 25 Februari — Menteri Luar Iran Abbas Araghchi mendakwa perjanjian untuk mengelakkan pertempuran ketenteraan dengan Amerika Syarikat semakin hampir dicapai.
- Iran dakwa perjanjian untuk mengelakkan pertempuran dengan AS hampir dicapai jika diplomasi diberi keutamaan.
- Rundingan ketiga antara Tehran dan Washington dijadual semula di Geneva minggu ini.
- Iran menegaskan tidak akan membangunkan senjata nuklear tetapi menuntut hak teknologi nuklear aman dan mempertahankan kedaulatan.
Kenyataan itu dikeluarkan dua hari sebelum pusingan baharu rundingan antara kedua-dua pihak yang dijadualkan disambung semula di Geneva, minggu ini.
“Kami berdepan peluang bersejarah untuk memeterai perjanjian belum pernah berlaku sebelum ini, yang menangani kebimbangan bersama dan memenuhi kepentingan kedua-dua pihak.
“Perjanjian itu berada dalam jangkauan, tetapi hanya jika diplomasi diberikan keutamaan,” kata Araghchi dalam hantaran di media sosial.
Kenyataan Araghchi itu juga dibuat ketika Iran mengeluarkan amaran halus kepada penunjuk perasaan melibatkan pelajar yang terus memberi tekanan kepada kerajaan, di tengah-tengah ancaman AS yang semakin meningkat untuk menghentikan program nuklear Tehran.
Tehran dan Washington dijadual mengadakan pusingan ketiga rundingan nuklear pada Khamis di Geneva, pusingan terbaru sejak rundingan disambung awal bulan ini.
Rundingan tersebut diadakan selepas penempatan besar-besaran tentera AS di rantau berkenaan, sejak beberapa minggu kebelakangan ini serta ancaman yang dikeluarkan Presiden Donald Trump untuk menyerang Iran sekiranya tiada perjanjian dicapai.
Tehran berulang kali menegaskan bahawa ia akan bertindak balas terhadap sebarang serangan dengan Kementerian Luarnya memberi amaran sebarang serangan, walaupun terhad, akan dianggap sebagai satu tindakan pencerobohan.
Pada Selasa Araghchi menegaskan Iran dalam apa jua keadaan tidak akan membangunkan senjata nuklear, tetapi menegaskan hak Tehran untuk memanfaatkan faedah teknologi nuklear bagi tujuan aman.
“Kami telah membuktikan bahawa kami tidak akan berkompromi dalam mempertahankan kedaulatan dengan penuh keberanian,” tambah beliau.
Iran dan AS sebelum ini mengadakan lima pusingan rundingan nuklear tahun lalu, namun rundingan itu berakhir susulan serangan Israel ke atas Iran yang mencetuskan perang selama 12 hari.