Iran dakwa empat diplomat terbunuh dalam serangan Israel di Beirut

FOTO AFP

TEHRAN, 11 Mac – Iran mendakwa empat diplomatnya terbunuh dalam serangan udara yang menyasarkan sebuah hotel di Beirut pada hujung minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran menghantar surat rasmi kepada Setiausaha Agung PBB menuduh serangan udara menimpa Hotel Ramada di Beirut, dan menyifatkannya sebagai tindakan keganasan.
  • Tentera Israel mengaku bertanggungjawab, berkata operasi itu serangan tepat yang menyasarkan komander utama Pasukan Quds.
  • Insiden itu meningkatkan ketegangan di Asia Barat susulan siri serangan dan tindak balas antara kedua pihak.

Menurut surat yang dihantar oleh misi tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) kepada Setiausaha Agung badan dunia itu, serangan berkenaan didakwa dilakukan oleh Israel pada awal pagi Ahad, 8 Mac lalu.

Iran menyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan keganasan yang disengajakan apabila sebuah hotel di pesisir pantai Beirut menjadi sasaran.

“Rejim Israel melancarkan serangan pengganas yang disengajakan terhadap Hotel Ramada di Beirut yang mengakibatkan pembunuhan dan kematian syahid empat diplomat Republik Islam Iran,” menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, tentera Israel sebelum ini mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Menurut mereka, operasi itu adalah serangan tepat yang menyasarkan komander utama Pasukan Quds, cabang operasi luar negara milik Pengawal Revolusi Iran.

Insiden tersebut sekali lagi meningkatkan ketegangan di Asia Barat susulan siri serangan dan tindak balas antara kedua-dua pihak sejak kebelakangan ini.