
TEHRAN, 10 Mac– Iran memberi bayangan tidak akan kembali berunding dengan Amerika Syarikat (AS) susulan konflik yang tercetus.
- Pengalaman berunding dengan Washington merosakkan keyakinan Tehran terhadap proses diplomatik.
- Rundingan sebelum ini menunjukkan kemajuan tetapi tindakan AS kemudian menjejaskan kepercayaan Iran.
- Araqchi menuduh Amerika Syarikat dan Israel sebagai punca ketegangan di Asia Barat.
- Serangan terhadap Iran menjejaskan pengeluaran dan penghantaran minyak serta kestabilan serantau; Iran bertindak mempertahankan diri.
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi berkata, pengalaman lalu berunding dengan Washington menyebabkan Tehran tidak lagi yakin terhadap proses diplomatik antara kedua-dua negara.
Menurut berliau, rundingan sebelum ini pernah menunjukkan kemajuan selepas beberapa pusingan perbincangan antara Iran dan AS.
Namun, tindakan AS selepas itu menjejaskan kepercayaan Iran terhadap usaha diplomatik tersebut.
“Bagi kami, kemungkinan untuk berbincang atau berunding semula dengan Amerika ketika ini nampaknya sudah tidak lagi menjadi pilihan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama wartawan Amna Nawaz menerusi program PBS NewsHour di Tehran.
Araqchi turut menuduh AS dan Israel sebagai punca ketegangan di Asia Barat.
Menurut beliau, serangan terhadap Iran menjejaskan pengeluaran serta penghantaran minyak di rantau itu, sekali gus memberi kesan kepada kestabilan serantau.
“Perang ini dipaksa ke atas Iran. Apa yang kami lakukan hanyalah mempertahankan diri daripada serangan terhadap negara kami,” katanya. -REUTERS