Iran: AS, Israel dalang kekacauan

Para penunjuk perasaan membakar gambar pemimpin Agung Iran, Ali Khamenei / AFP

TEHRAN, 13 Januari – Iran menyatakan kesediaan untuk berunding dengan Amerika Syarikat berdasarkan prinsip saling menghormati.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran sanggup berunding dengan AS berdasarkan saling menghormati tetapi tetap bersedia menghadapi perang.
  • Kerajaan menuduh AS dan Israel menganjurkan serangan oleh pengganas terhadap polis dan kemudahan awam.
  • Negara umumkan tiga hari berkabung, sekurang-kurangnya 111 anggota keselamatan terkorban; akses internet disekat.

Namun pada masa sama, menegaskan negara itu tidak gentar dan bersiap “sepenuhnya untuk berperang,” menurut Menteri Luarnya, Seyed Abbas Araghchi.

Dalam sidang media di Tehran, Araghchi menuduh Amerika Syarikat dan Israel memainkan peranan langsung dalam kekacauan terbaharu di seluruh Iran.

Beliau berkata kerajaan Iran mempunyai bukti menunjukkan bahawa insiden yang berlaku termasuk serangan ke atas balai polis dan kemudahan awam dilakukan oleh “pengganas” yang disokong AS dan Israel.

Kerajaan Iran turut mengumumkan tempoh berkabung nasional selama tiga hari bagi menghormati anggota polis, pasukan keselamatan dan orang awam yang terkorban dalam kekacauan yang melanda negara itu sejak dua minggu lalu.

Menurut agensi berita separa rasmi Tasnim, sekurang-kurangnya 111 anggota pasukan keselamatan Iran terkorban dalam tempoh tersebut.

Pihak berkuasa masih belum mengumumkan angka rasmi korban dalam kalangan penunjuk perasaan.

Sementara itu, akses internet di seluruh Iran masih terputus pada tengah hari Isnin, menurut wartawan Kumpulan Media China (CM) yang berada di lapangan.

Bagaimanapun, perkhidmatan telefon domestik dilaporkan tidak terganggu dalam tempoh 24 jam sebelumnya.

Langkah keselamatan dipertingkatkan di seluruh Tehran, dengan polis menambah rondaan di lokasi dan kawasan strategik.

Protes yang tercetus sejak dua minggu lalu itu pada mulanya berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup, sebelum berkembang menjadi gerakan menentang sistem teokrasi yang memerintah Iran sejak revolusi 1979. – REUTERS