Interpol keluarkan notis merah terhadap ‘Godfather Petrol’ Indonesia

Tokoh minyak terbesar Indonesia, Mohammad Riza Chalid

JAKARTA, 2 Februari – Interpol mengeluarkan notis merah bagi menahan salah seorang tokoh minyak terbesar Indonesia, Mohammad Riza Chalid, susulan skandal rasuah bernilai AS$17 bilion, menurut pihak polis pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Interpol keluarkan notis merah terhadap Mohammad Riza Chalid pada 23 Januari bagi tujuan penahanan sementara.
  • Riza, dikenali sebagai "godfather petrol", disyaki terlibat rasuah AS$17 bilion serta pengubahan wang haram dan manipulasi pajakan.
  • Notis diedarkan kepada 196 negara anggota Interpol untuk mengesan dan bekerjasama dalam penahanan beliau.
  • Pasport Indonesia Riza dibatalkan; beliau dan anak serta pegawai Pertamina dinamakan suspek sejak Julai lalu.

Riza Chalid, 66, yang digelar sebagai “godfather petrol”, dikehendaki pihak berkuasa Indonesia berhubung dakwaan penglibatannya dalam kes rasuah di syarikat minyak milik negara, Pertamina, antara 2018 hingga 2023, termasuk kesalahan pengubahan wang haram dan manipulasi perjanjian pajakan.

Setiausaha Biro Pusat Kebangsaan Interpol Indonesia, Untung Widyatmoko berkata, notis merah itu telah dikeluarkan oleh Interpol pada 23 Januari lalu.

“Kami tidak boleh menyatakan secara tepat lokasi beliau berada, namun kami sudah mengetahuinya,” katanya.

Notis berkenaan telah diedarkan kepada 196 negara anggota Interpol bagi mendapatkan kerjasama penguat kuasa undang-undang antarabangsa untuk mengesan serta menahan Riza secara sementara.

Pada Julai lalu, Riza, anaknya Muhammad Kerry Adrianto Riza serta beberapa pegawai kanan Pertamina dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah berkenaan.

Menurut Pejabat Peguam Negara Indonesia, mereka didakwa bekerjasama mengimport minyak mentah daripada pembekal luar negara pada harga lebih tinggi berbanding sumber domestik, sekali gus melanggar undang-undang Indonesia yang mewajibkan keutamaan kepada bekalan tempatan.

Pasport Indonesia milik Riza turut dibatalkan pada Oktober lalu, menurut pihak imigresen negara itu.

Indonesia sejak sekian lama berdepan masalah rasuah dan telah menahan ramai pegawai awam sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada 2023, seorang bekas menteri komunikasi dijatuhi hukuman penjara 15 tahun selepas didapati bersalah dalam kes rasuah yang menyebabkan kerugian melebihi AS$530 juta kepada negara.-AFP