Inflasi Argentina turun ke paras terendah dalam tempoh 14 bulan

Foto AFP

BUENOS AIRES, 11 September – Inflasi di Argentina turun ke paras terendah dalam tempoh 14 bulan pada Ogos.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sedikit kelegaan untuk Presiden Javier Milei walau sokongan merosot dan kebimbangan terhadap pengangguran meningkat.
  • INDEC melaporkan inflasi bulanan 1.7%, kumulatif 21.3% dan kadar 12 bulan 33.5%.
  • Pemulihan terjejas: pertumbuhan lemah, sektor pembuatan merosot, lebih 240,000 pekerjaan swasta hilang dan hampir 30,000 syarikat tutup.

Keadaan tersebut memberi sedikit kelegaan kepada Presiden Javier Milei ketika sokongan terhadap kepimpinannya semakin merosot dan kebimbangan terhadap pengangguran yang semakin meningkat.

Menurut Institut Perangkaan dan Banci Kebangsaan (INDEC), inflasi bulanan pada Ogos berada pada 1.7 peratus, turun daripada 2.1 peratus pada Julai.

Inflasi terkumpul sejak Januari pula mencapai 21.3 peratus, manakala kadar bagi tempoh 12 bulan ialah 33.5 peratus.

Milei, seorang pakar ekonomi yang membawa agenda pasaran bebas secara radikal untuk memulihkan ekonomi Argentina yang bermasalah, memenangi pilihan raya pada Disember 2023 dengan mandat untuk menurunkan kadar inflasi yang sekian lama tinggi.

Ketika beliau dipilih, inflasi negara itu berada pada kadar tiga digit. Milei berjaya mengurangkannya menerusi program penjimatan ketat dan disiplin fiskal.

Bagaimanapun, kejayaan mengawal inflasi dan menghapuskan defisit belanjawan mula terjejas susulan pertumbuhan ekonomi yang lemah serta kemerosotan pengeluaran sektor pembuatan selain kehilangan lebih 240,000 pekerjaan sektor swasta sepanjang pentadbirannya.

Tinjauan pendapat menunjukkan pengangguran kini mengatasi inflasi.

Perkara itu kebimbangan utama rakyat Argentina.

Pemimpin industri berkata keputusan Milei untuk melonggarkan dasar perlindungan industri yang dilaksanakan selama beberapa dekad secara serentak menyebabkan sektor pembuatan Argentina terdedah secara tidak adil kepada persaingan global.

Hampir 30,000 syarikat ditutup dalam tempoh tiga tahun lalu.

Bank pusat turut menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi Argentina bagi 2026 daripada 2.7 peratus kepada 2.1 peratus, jauh lebih rendah berbanding sasaran lima peratus yang ditetapkan kerajaan dalam belanjawannya. – REUTERS.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.