
JAKARTA, 25 Mac – Indonesia akan meneruskan pembelajaran secara bersemuka di sekolah selepas cuti Aidilfitri sekali gus membatalkan rancangan awal untuk memperkenalkan kelas hibrid sebagai sebahagian langkah penjimatan tenaga.
- Keputusan dibuat mengambil kira aspek akademik dan pemantapan sahsiah pelajar.
- Pembelajaran dalam talian tidak dilihat sebagai keperluan mendesak demi mengekalkan kualiti pendidikan.
- Proses pembelajaran mesti diteruskan secara optimum tanpa kehilangan pembelajaran, dan perkhidmatan perubatan penting akan terus beroperasi.
- Strategi penjimatan tenaga sektor awam disediakan termasuk lima langkah: kerja fleksibel, platform digital, had perjalanan, penjimatan bangunan, pelarasan pembelajaran.
Menteri Pendidikan Rendah dan Menengah Abdul Mu’ti berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira faktor akademik dan keperluan untuk memperkasakan pembangunan sahsiah pelajar.
“Selaras dengan keputusan mesyuarat antara kementerian pada 23 Mac, pembelajaran di sekolah akan dijalankan seperti biasa dengan mengambil kira aspek akademik dan pemantapan pendidikan karakter,” katanya kepada Agensi Berita ANTARA, Rabu.
Sementara itu, Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Pratikno berkata aktiviti pembelajaran akan berjalan seperti biasa, dengan pelajar terus menghadiri kelas secara bersemuka.
Beliau berkata perbincangan telah diadakan mengenai penggunaan kaedah hibrid namun menegaskan pembelajaran dalam talian bukanlah satu keperluan mendesak memandangkan kepentingan mengekalkan kualiti pendidikan pelajar, menurut Agensi Berita ANTARA.
Beliau menambah proses pembelajaran mesti diteruskan secara optimum tanpa menyebabkan kehilangan pembelajaran, sambil menyatakan perkhidmatan perubatan penting juga akan terus beroperasi seperti biasa.
Pada 17 Mac, Pratikno berkata kerajaan sedang menyiapkan strategi penjimatan tenaga sektor awam meliputi pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam, berikutan arahan daripada Presiden Prabowo Subianto untuk menangani kesan ketegangan geopolitik global terhadap bekalan tenaga.
Beliau berkata lima langkah utama telah dipersetujui termasuk pengaturan kerja fleksibel untuk penjawat awam, memperluas penggunaan platform digital, had perjalanan rasmi, langkah penjimatan tenaga di bangunan kerajaan dan pelarasan kaedah pembelajaran berdasarkan keperluan mata pelajaran. – BERNAMA