Indonesia-Arab Saudi perkukuh integrasi digital haji, umrah

Foto AFP

JAKARTA, 17 Februari– Indonesia menegaskan semula komitmennya untuk memperkukuh integrasi digital dengan Arab Saudi bagi meningkatkan tahap keselamatan dan kecekapan perkhidmatan haji dan umrah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh integrasi digital dengan Arab Saudi untuk meningkatkan keselamatan dan kecekapan perkhidmatan haji dan umrah.
  • Fokus teknikal termasuk sambungan data dengan sistem Saudi dan pengoptimuman platform Nusuk Masar untuk pengurusan hotel dan jemaah.
  • Mencadangkan mekanisme penggantian visa yang fleksibel untuk mengelakkan pembaziran kuota dan memperbaiki penyelarasan kecemasan.

Menteri Haji dan Umrahnya, Moch Irfan Yusuf berkata langkah itu merangkumi aspek pemprosesan visa, pengurusan penginapan, perkhidmatan kesihatan dan sistem pemantauan jemaah.

“Indonesia menyatakan sokongan penuh terhadap pemodenan perkhidmatan haji dan umrah selaras dengan Visi Saudi 2030.

“Antara fokus teknikal utama adalah memperkukuh sambungan data dengan sistem Arab Saudi, termasuk mengoptimumkan platform Nusuk Masar bagi kontrak hotel dan pengurusan perkhidmatan jemaah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bercakap pada forum Saudi-Indonesian Umrah Co.Exchange di Makkah, Arab Saudi, Moch Irfan berkata Indonesia menyifatkan penyelarasan digital yang lancar dengan pihak berkuasa Saudi sebagai kritikal untuk melindungi kepentingan berjuta-juta rakyatnya yang menunaikan ibadah tersebut setiap tahun.

Beliau berkata Indonesia turut mencadangkan fleksibiliti dalam mekanisme penggantian visa bagi jemaah yang membatalkan pemergian mereka bagi mengelakkan kuota yang diperuntukkan daripada terbatal.

“Setiap kuota adalah hak ummah. Kami berharap akan ada mekanisme yang fleksibel sehingga menghampiri tarikh berlepas, supaya slot tersebut tidak dibazirkan,” katanya.

Beliau juga menaruh harapan agar integrasi sistem ini dapat mempercepatkan proses pentadbiran, memperkukuh pengawasan dan menambah baik penyelarasan tindak balas kecemasan antara kedua-dua negara, sekali gus membentuk asas penting ke arah tadbir urus haji dan umrah yang lebih moden, telus dan berorientasikan jemaah.- BERNAMA