Hillary Clinton tampil beri keterangan tidak tahu mengenai jenayah Epstein

FOTO REUTERS

NEW YORK, 27 Februari – Bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hillary Clinton pada Khamis memberitahu penggubal undang-undang Dewan Perwakilan bahawa beliau tidak tahu mengenai jenayah Jeffrey Epstein dan rakan sejenayahnya Ghislaine Maxwell, lapor Xinhua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hillary Clinton menegaskan beliau tidak tahu mengenai jenayah Jeffrey Epstein atau rakan sejenayahnya Ghislaine Maxwell.
  • Clinton menafikan pernah bertemu Epstein atau menggunakan pesawat, pulau, rumah atau pejabatnya.
  • Beliau menuduh jawatankuasa cuba mengalihkan perhatian daripada hubungan Presiden Trump dengan Epstein.
  • Sesi tertutup melebihi enam jam; transkrip dan rakaman video akan didedahkan kepada umum.

“Saya tidak tahu mengenai aktiviti jenayah mereka. Saya tidak ingat pernah bertemu Encik Epstein. Saya tidak pernah menaiki pesawatnya atau melawat pulau, rumah atau pejabatnya. Saya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk ditambah,” kata Clinton dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.

Kenyataan itu dibuat sebelum beliau dijadualkan memberikan keterangan dalam sesi tertutup di hadapan Jawatankuasa Pengawasan dan Reformasi Kerajaan Dewan Perwakilan di Chappaqua, New York.

Suaminya, bekas Presiden AS Bill Clinton, akan hadir untuk memberi keterangan yang sama pada Jumaat, yang akan menjadi kali pertama seorang bekas presiden memberi keterangan di hadapan Kongres sejak 1983.

Dalam kenyataan itu, Clinton menuduh jawatankuasa tersebut cuba mengalihkan fokus daripada hubungan Presiden Donald Trump dengan Epstein.

“Anda telah memaksa saya memberi keterangan, sedangkan anda sedar sepenuhnya bahawa saya tidak mempunyai maklumat yang dapat membantu siasatan anda, hanya untuk mengalihkan perhatian daripada tindakan Presiden Trump dan untuk menutupnya walaupun terdapat desakan yang sah untuk mendapatkan jawapan,” tulis beliau.

“Jika Jawatankuasa ini serius untuk mengetahui kebenaran tentang jenayah pemerdagangan Epstein, ia tidak akan bergantung kepada sidang media tidak rasmi untuk mendapatkan jawapan daripada presiden kita sekarang mengenai penglibatannya; ia sepatutnya bertanya kepadanya secara terus di bawah sumpah mengenai puluhan ribu kali namanya muncul dalam fail Epstein,” katanya.

James Comer, pengerusi jawatankuasa itu, menolak dakwaan bahawa siasatan tersebut adalah usaha berat sebelah yang menyasarkan Hillary Clinton, dengan menyatakan: “Tiada sesiapa yang menuduh keluarga Clinton melakukan sebarang kesalahan pada ketika ini.”

Sesi temu bual keluarga Clinton akan dirakam melalui video, dan transkripnya akan didedahkan kepada umum, menurut Comer.

Keluarga Clinton bersetuju untuk memberi keterangan selepas tawaran mereka untuk memberikan kenyataan bersumpah ditolak, dan Comer mengancam untuk mengenakan pertuduhan menghina Kongres terhadap mereka.

Sementara itu, Agensi Akhbar Jerman (dpa) melaporkan bahawa keterangan Hillary Clinton di hadapan Kongres AS berkaitan skandal melibatkan pesalah seks Jeffrey Epstein tamat selepas lebih enam jam.

Susulan pendengaran tertutup pada Khamis di hadapan Jawatankuasa Pengawasan Dewan Perwakilan AS, Hillary Clinton berkata beliau “menjawab setiap soalan mereka semampu mungkin berdasarkan apa yang saya tahu.”

Bekas setiausaha negara itu berkata beliau telah pun berkongsi apa yang diketahuinya dalam kenyataan pembukaan bertulisnya.

“Saya tidak tahu berapa kali saya perlu katakan, ‘Saya tidak kenal Jeffrey Epstein,'” katanya kepada pemberita di Chappaqua, sebuah bandar di negeri New York, AS di mana beliau tinggal bersama suaminya, bekas presiden Bill Clinton. Beliau menambah bahawa beliau mengenali rakan sejenayah Epstein, Ghislaine Maxwell “sekadar kenalan biasa.”

Pasangan itu, yang merupakan ahli Demokrat, enggan memberi keterangan di hadapan Kongres AS selama berbulan-bulan dalam siasatan kes Epstein.

Mereka menuduh pengerusi jawatankuasa dari Parti Republikan, James Comer, menjalankan proses yang bermotifkan politik.

Menurut laporan media AS, persetujuan mereka untuk memberi keterangan pada awal Februari menyebabkan ahli Republikan membatalkan undian mengenai prosedur menghina Kongres terhadap keluarga Clinton.

Jabatan Kehakiman AS telah mengeluarkan lebih tiga juta halaman dokumen berkaitan Epstein sejak beberapa bulan lalu bagi mematuhi undang-undang yang diluluskan oleh Kongres.

Epstein mengendalikan rangkaian penderaan selama bertahun-tahun, menjadikan puluhan wanita muda dan kanak-kanak bawah umur sebagai mangsa.

Pembiaya kewangan New York itu mempunyai hubungan yang sangat baik dalam kalangan masyarakat atasan AS.

Epstein mengaku bersalah atas pertuduhan negeri kerana melanggan pelacur bawah umur pada 2008.

Beliau ditangkap semula pada Julai 2019 atas pertuduhan persekutuan pemerdagangan seks dan meninggal dunia di dalam penjara pada 10 Ogos 2019, sebelum perbicaraan dimulakan.- BERNAMA-XINHUA/dpa