
NEW ZEALAND , 24 Mac – Harga bahan api di New Zealand meningkat mendadak susulan ketidaktentuan pasaran tenaga global serta ketegangan di Asia Barat.
- Ketidaktentuan pasaran dan ketegangan geopolitik menyebabkan turun naik harga minyak, dengan IEA dan Goldman Sachs memberi amaran bekalan kekal tertekan.
- Harga domestik meningkat: RON91 sekitar 3.30 NZD, RON95 3.50 NZD, diesel 3.11 NZD seliter.
- Kerajaan umum pakej bantuan tambahan NZ$50 seminggu untuk kira-kira 143,000 keluarga bekerja bermula 7 April.
Harga minyak mentah Brent crude dilaporkan melonjak melebihi 113 dolar Amerika sebelum susut di bawah 100 dolar susulan perkembangan tidak menentu melibatkan Amerika Syarikat dan Iran.
Penganalisis menyatakan turun naik geopolitik memberi kesan langsung kepada kos import tenaga negara yang bergantung kepada bekalan luar seperti New Zealand.
Agensi Tenaga Antarabangsa memberi amaran pelepasan rizab strategik tambahan mungkin tidak mencukupi untuk menampung kekurangan bekalan, manakala Goldman Sachs menjangkakan harga minyak kekal melebihi 100 dolar Amerika dalam tempoh terdekat.
Data terkini menunjukkan harga petrol RON91 meningkat kepada sekitar 3.30 dolar New Zealand seliter, manakala RON95 mencecah 3.50 dolar dan diesel kepada 3.11 dolar.
Seorang penduduk berkata kenaikan harga itu membebankan, memaksanya mengurangkan penggunaan kenderaan harian.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan New Zealand mengumumkan pakej bantuan dengan tambahan 50 dolar New Zealand seminggu kepada kira-kira 143,000 keluarga bekerja bermula 7 April.
Penganalisis menjangkakan tekanan inflasi akan terus meningkat, dengan isu kos bahan api menjadi antara tumpuan utama dasar ekonomi negara itu.-REUTERS