
XINJIANG, 12 Jun – Gurun Taklamakan di Xinjiang merupakan gurun terbesar di China, dilanda banjir pertama pada awal Jun tahun ini, menurut laporan China Central Television (CCTV) pada Jumaat.
- Rakaman dron menunjukkan paras air Sungai Tarim di kawasan pedalaman berada pada tahap tinggi.
- Banjir pernah berlaku sejak 2021 dan biasanya pada Ogos; tahun ini ia berlaku lebih awal disebabkan pemanasan luar biasa.
- Xinjiang merekodkan suhu 7.3 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata, bacaan mencecah 38 darjah.
- Pihak berkuasa memberi amaran supaya penduduk bersiap sedia hadapi risiko banjir ekstrem musim panas akibat hujan lebat dan pencairan glasier pantas.
Rakaman dron yang disiarkan menunjukkan paras air Sungai Tarim yang mengalir di kawasan pedalaman berada pada tahap tinggi.
Banjir di Taklamakan pernah berlaku sejak 2021 dan biasanya berlaku pada Ogos ketika suhu puncak musim panas. Namun, tahun ini ia berlaku lebih awal akibat peningkatan suhu yang luar biasa.
Pada 12 Jun, wilayah Xinjiang merekodkan suhu 7.3 darjah celsius lebih tinggi daripada purata kebiasaan untuk tempoh tersebut, dengan bacaan mencecah 38 darjah celsius, menurut data Reuters Climate Monitor.
Bahagian barat dan selatan Xinjiang turut merekodkan peningkatan hujan yang lebih kerap kebelakangan ini, dengan jumlah hujan di beberapa kawasan dilaporkan dua hingga tiga kali ganda berbanding purata sejarah awal pada Jun.
Pihak berkuasa China turut memberi amaran kepada penduduk di bahagian barat laut Xinjiang dan kawasan berhampiran supaya bersiap sedia menghadapi risiko banjir ekstrem pada musim panas ini. Ia disebabkan suhu luar biasa, hujan lebat serta pencairan glasier yang pantas.-REUTERS