
DR CONGO, 12 Jun – Jumlah kes Ebola yang disahkan di Republik Demokratik Congo (DRC) meningkat kepada 676 kes, dengan 136 kematian direkodkan, ketika pihak berkuasa kesihatan memberi amaran mengenai penularan dalam komuniti serta ke kawasan lain secara mendadak.
- Wabak menjejaskan 29 zon kesihatan di tiga wilayah timur, termasuk Ituri, Kivu Utara dan Kivu Selatan.
- Pengesanan dan pemantauan kontak lemah: 5,768 kontak dipantau, kadar susulan 71.8 peratus, jauh daripada sasaran 95 peratus.
- Petugas laporkan 41 kes baharu dan sembilan kematian direkodkan di Ituri dan Kivu Utara.
Laporan terkini oleh pihak berkuasa kesihatan DRC pada Khamis memaklumkan, sebanyak 41 kes baharu yang disahkan, termasuk sembilan kematian telah direkodkan pada Rabu di wilayah Ituri dan Kivu Utara.
Wabak tersebut, yang berpunca daripada strain Bundibugyo setakat ini telah menjejaskan 29 zon kesihatan di tiga wilayah timur negara itu iaitu Ituri, Kivu utara dan Kivu selatan.
Data terkini menunjukkan kes terus meningkat setiap minggu, menandakan penularan dalam komuniti terus berlaku. Laporan tersebut turut memberi amaran, tanpa tindakan kesihatan awam yang cepat dan berkesan, ia berisiko merebak ke kawasan lain dengan cepat.
Dalam pada itu, pihak berkuasa kesihatan berkata seramai 5,768 kontak sedang dipantau di ketiga-tiga wilayah terjejas, dengan kadar pemantauan susulan pada tahap 71.8 peratus.
Laporan itu menyatakan pengesanan kontak masih lemah dan belum mencapai sasaran 95 peratus. Keadaan ini boleh menjejaskan usaha untuk memutuskan rantaian penularan.
Sementara itu, dua pesakit Ebola di Bunia telah sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih meningkat kepada 32 orang.
Wabak Ebola di Republik Demokratik Congo merupakan yang ke-17 sejak penyakit tersebut pertama kali dikenal pasti pada tahun 1976. Wabak ini secara rasmi diisytiharkan pada 15 Mei lalu.
Wilayah terjejas yang mempunyai hampir 15 juta penduduk turut berdepan cabaran seperti perpindahan besar-besaran dan pergerakan rentas sempadan ke negara jiran, menurut laporan berkenaan.- REUTERS