Guatemala tamatkan perintah darurat selepas keganasan geng

Presiden Guatemala Bernardo Arevalo menyantuni waris anggota polis yang terkorban ketika upacara pengebumian di Guatemala City/Foto AFP

GUATEMALA CITY, 17 Februari – Guatemala menamatkan perintah darurat yang dikuatkuasakan selama sebulan susulan gelombang serangan bersenjata kumpulan Barrio 18 yang mengorbankan 11 anggota polis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perintah darurat sebulan ditamatkan dan diganti dengan perintah pencegahan yang lebih longgar.
  • Penempatan polis dan tentera di Guatemala City serta kawasan sekitar untuk mengekang keganasan.
  • Operasi keselamatan hasil: 83 ditahan, pemerasan turun 33%, kadar pembunuhan hampir separuh.
  • Ronda bersama polis dan tentera akan diteruskan di kawasan jenayah tinggi di bawah Pelan Sentinel.

Presiden Bernardo Arevalo berkata langkah itu digantikan dengan perintah pencegahan yang lebih longgar bermula Selasa, dengan penempatan polis dan tentera di Guatemala City serta kawasan sekitarnya bagi mengekang keganasan.

Menurut Arevalo, operasi keselamatan itu membuahkan hasil apabila 83 anggota geng berbahaya ditahan, kes pemerasan menurun 33 peratus dan kadar pembunuhan susut hampir separuh berbanding tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata aktiviti geng berjaya dikawal selepas sistem komunikasi yang membolehkan banduan berhubung dengan dunia luar diputuskan.

Namun sebahagian penduduk masih ragu keganasan akan berakhir, dengan seorang warga tempatan menyifatkan langkah kerajaan tidak menangani punca utama seperti kemiskinan.

Kementerian Pertahanan memaklumkan rondaan bersama polis dan tentera akan diteruskan di kawasan yang mencatat kadar jenayah tinggi di bawah Pelan Sentinel.-AFP