Gaza: Tiga wartawan maut dalam serangan udara Israel

FOTO AFP

GAZA, 22 Januari – Seorang wartawan bebas AFP dan dua lagi wartawan Palestin maut dalam serangan udara Israel di Gaza pada Rabu, menurut agensi pertahanan awam wilayah itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga wartawan terbunuh dalam serangan udara Israel di kawasan Al-Zahra, barat daya Bandar Gaza.
  • Mayat dibawa ke Hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir al-Balah dan mangsa dikenal pasti.
  • Israel mendakwa dron berkaitan ancaman dan menyasarkan suspek yang mengendalikannya.
  • Organisasi antarabangsa lapor ratusan wartawan terbunuh, Gaza kekal wilayah paling berbahaya untuk media.

Menurut agensi pertahanan awam, mayat ketiga-tiga wartawan yang terbunuh dalam serangan udara Israel di kawasan Al-Zahra, barat daya Bandar Gaza telah dibawa ke Hospital Al-Aqsa Martyrs di Deir al-Balah.

Mangsa dikenal pasti sebagai Mohammed Salah Qashta, Abdul Raouf Shaat dan Anas Ghneim.

Menurut saksi, wartawan terbabit menggunakan dron untuk merakam aktiviti agihan bantuan oleh Egyptian Relief Committee di Gaza ketika sebuah kenderaan yang bersama mereka diserang.

Jurucakap badan bantuan Mesir, Mohammed Mansour menuduh tentera Israel “secara jenayah menyasarkan kenderaan itu” ketika penggambaran di kem Netzarim.

Manakala Persatuan Wartawan Palestin (Palestinian Journalists’ Syndicate) menegaskan serangan itu sengaja yang dilakukan tentera Israel menyasarkan wartawan Palestin.

Sementara itu, tentera Israel menyatakan, pasukan itu telah “mengenal pasti beberapa suspek yang mengendalikan dron berkaitan Hamas di Gaza tengah.”

Serangan dilakukan kerana dron tersebut dianggap ancaman kepada pasukan tentera Israel. Namun butiran lanjut masih dalam siasatan.

Badan pemantau Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) berkata sekurang-kurangnya 29 wartawan Palestin terbunuh di Gaza antara Disember 2024 hingga Disember 2025.

Sejak peperangan bermula pada Oktober 2023, hampir 220 wartawan telah terbunuh di Gaza, menjadikannya wilayah paling berbahaya untuk media.

Tentera Israel menegaskan beberapa wartawan yang disasarkan adalah “pengganas” berkaitan kumpulan pejuang Palestin.

Serangan pada Rabu berlaku beberapa jam selepas pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan beliau menerima jemputan daripada Presiden AS, Donald Trump, untuk menyertai Lembaga Keamanan bagi menyelesaikan konflik di wilayah itu. – REUTERS