EU jamin beri pinjaman AS$106 bilion kepada Ukraine, disebalik bantahan Hungary

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dalam sidang media di Kyiv / Foto AFP

KYIV, 25 Februari – Kesatuan Eropah (EU) memberi jaminan untuk menunaikan pinjaman berbilion euro kepada Ukraine meskipun Hungary, negara anggota pro-Kremlin, menolak langkah berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • EU menegaskan pinjaman besar kepada Ukraine akan dilaksanakan walaupun menghadapi tentangan Hungary.
  • Perdana Menteri Hungary menangguhkan bantuan dan sekatan sehingga saluran paip Druzhba dibuka semula.
  • Zelensky dan von der Leyen menyeru perbincangan dan pembaikan segera saluran paip untuk hentikan serangan dan kebocoran ketegangan.

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen berkata pinjaman tersebut telah dipersetujui oleh 27 ketua negara dan kerajaan dalam Majlis Eropah.

“Mereka telah memberi janji. Janji ini tidak boleh dilanggar dan pinjaman ini akan dilaksanakan juga. Biarlah saya sangat jelas. Kami mempunyai beberapa pilihan, dan kami akan menggunakannya,” katanya dalam sidang media bersama pemimpin Ukraine, Volodymyr Zelensky, di sini.

Perdana Menteri Hungary Viktor Orban dilaporkan menangguhkan kedua-dua pinjaman berjumlah 90 bilion euro (AS$106 bilion) serta sekatan pusingan baharu terhadap Rusia sehingga Kyiv membuka semula saluran paip minyak utama.

Ukraine mendakwa saluran paip Druzhba, yang merentasi wilayahnya ke Slovakia dan Hungary, mengalami kerosakan pada 27 Januari akibat serangan Rusia.

Zelensky berkata Rusia bertanggungjawab atas kemusnahan saluran paip berkenaan dan walaupun ia dibaiki, tentera Moscow berkemungkinan menyerangnya semula.

Sehubungan itu, beliau menggesa Orban berunding terus dengan Presiden Rusia Vladimir Putin bagi menghentikan serangan ke atas kemudahan berkenaan atau bersetuju dengan gencatan tenaga.

Von der Leyen pula menyeru supaya kerja membaiki saluran paip Druzhba dipercepatkan.

Hubungan Ukraine dengan negara jiran, Hungary, tegang susulan sokongan politik Orban terhadap Rusia dan semakin meruncing sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila pemimpin veteran itu meningkatkan serangan terhadap Ukraine menjelang pilihan raya parlimen yang dijangka berlangsung pada April.