Enam maut insiden bas terbakar

Bas persiaran yang hangus terbakar dipercayai angkara perbuatan khianat / REUTERS

KERZERS (Switzerland), 11 Mac – Sekurang-kurangnya enam orang disahkan maut selepas sebuah bas hangus terbakar di sebuah bandar kecil di barat Switzerland pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga individu cedera parah dan dirawat di hospital.
  • Polis menyiasat kemungkinan unsur khianat dan telah melancarkan siasatan jenayah rasmi.
  • Kebakaran berlaku di jalan raya utama, menghasilkan asap hitam tebal sebelum bomba mengawal api.

Tragedi yang berlaku di Kerzers, dalam wilayah Fribourg itu, turut menyebabkan tiga individu lain mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di hospital.

Jurucakap Polis Fribourg, Frederic Papaux berkata, pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur khianat dalam insiden tersebut.

“Pada peringkat ini, perbuatan yang disengajakan mungkin menjadi punca kepada tragedi ini. Kami akan menyiasat dengan lebih teliti bagi mengetahui perkara sebenar yang telah berlaku,” katanya kepada media tempatan.

Menurut kenyataan polis, kebakaran berlaku di jalan raya utama di Kerzers, menyebabkan kepulan asap hitam tebal menyelubungi kawasan sekitar sebelum anggota bomba berjaya mengawal api.

Pihak polis Fribourg kini telah melancarkan siasatan jenayah secara rasmi bagi mengenal pasti punca kebakaran, sama ada ia disebabkan oleh kegagalan teknikal atau tindakan berniat jahat.

Identiti mangsa yang maut masih belum didedahkan sementara menunggu proses pengesahan forensik.-REUTERS