Dua syarikat penerbangan Eropah gantung penerbangan ke Timur Tengah

Foto fail/REUTERS

PARIS, 24 Januari -Air France dan Syarikat Penerbangan Belanda, KLM mengantung sementara perkhidmatan ke Dubai berikutan ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Air France menggantung sementara perkhidmatan ke Dubai berikutan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
  • KLM menghentikan penerbangan ke Tel Aviv, Dubai, Dammam dan Riyadh sehingga diberitahu kelak.
  • KLM juga mengelakkan ruang udara Iraq, Iran, Israel dan beberapa negara Teluk.
  • Kedua-dua syarikat memantau situasi keselamatan dan akan mengeluarkan makluman lanjut.

“Disebabkan situasi semasa di Timur Tengah, syarikat telah memutuskan untuk menggantung sementara perkhidmatan ke Dubai,” kata Air France dalam satu kenyataan kepada AFP.

Syarikat penerbangan nasional Perancis itu memaklumkan, pihaknya sentiasa memantau perkembangan situasi geopolitik di wilayah yang dilalui oleh penerbangannya bagi memastikan “tahap keselamatan dan perlindungan yang terbaik.”

“Air France memantau situasi ini secara masa nyata dan akan mengeluarkan makluman lanjut berhubung jadual penerbangan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, menurut penyiar nasional Belanda (NOS), KLM menggantung penerbangan sehingga diberitahu kelak ke Tel Aviv, Dubai, Dammam dan Riyadh, selain tidak akan melalui ruang udara Iraq, Iran, Israel dan beberapa negara Teluk.

Syarikat penerbangan itu tidak mendedahkan sebab khusus penggantungan berkenaan dan memaklumkan ia sedang berhubung dengan pihak berkuasa Belanda, menurut laporan NOS. – AFP