
SAN JOSE, 17 November – Wartawan Costa Rica, Camilo Rodriguez, 50 tahun yang pernah mendedahkan mengenai dakwaan hubungan pengedar dadah dengan ahli politik, dilaporkan maut ditembak, pada Isnin.
- Dua individu menunggang motosikal melepaskan tembakan kepada wartawan yang sedang memandu di Santo Domingo de Herdia.
- Mangsa dilapor menerima ugutan bunuh dan menolak tawaran perlindungan yang ditawarkan kepadanya.
- Persatuan Wartawan mengutuk pembunuhan dan menuntut siasatan segera; Peguam Negara mengesahkan siasatan telah dimulakan.
- Costa Rica menghadapi peningkatan keganasan berkaitan pengedaran dadah; kes pembunuhan wartawan terakhir dilaporkan pada Julai 2001.
Pihak berkuasa mengesahkan, dua individu yang menaiki sebuah motosikal telah melepaskan tembakan ke arah mangsa yang sedang memandu di bandar Santo Domingo de Herdia.
Mangsa sebelum ini dilapor telah menerima beberapa ugutan bunuh selepas sering mendedahkan nama penuh ketua kumpulan pengedar dadah serta mendakwa pernah menyalurkan maklumat kepada Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA) mengenai hubungan antara pengedar dadah dengan individu berpengaruh dalam politik dan perniagaan.
Susulan insiden berkenaan, Persatuan Wartawan Costa Rica melalui Presidennya, Yanancy Noguera mengutuk pembunuhan itu dan menuntut siasatan segera.
Sementara itu, Peguam Negara, Carlo Diaz, memaklumkan siasatan segera berhubung insiden berkenaan telah dimulakan.
“Rodriguez pernah melaporkan mengenai ugutan yang diterima, namun menolak tawaran perlindungan,”katanya.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Costa Rica yang merupakan antara negara paling selamat di Amerika Tengah berdepan peningkatan keganasan akibat kegiatan pengedaran dadah.
Kali terakhir seorang pengamal media dibunuh di Costa Rica adalah pada Julai 2001, selepas penerbit radio, Parmenio Medina ditembak mati di lebuh raya Santo Domingo, berhampiran kawasan serangan terhadap Rodriguez.-AFP