
HAVANA, 8 Julai – Bekalan elektrik kembali dipulihkan secara berperingkat di Cuba pada Selasa selepas negara itu mengalami gangguan bekalan elektrik besar-besaran buat kali ketiga dalam tempoh kurang enam bulan, ketika pulau berkenaan berdepan sekatan bekalan petroleum oleh Amerika Syarikat (AS)
- 10 daripada 15 wilayah, termasuk Havana, telah disambungkan semula ke Sistem Elektrik Nasional.
- Pengeluaran tenaga rendah dan kekurangan bahan api menghalang pemulihan penuh; lebih 65% kawasan Havana kini menerima bekalan.
- Punca gangguan: turun naik voltan, loji uzur dan kekurangan bahan api; Presiden menyalahkan sekatan AS, menuduhnya bersifat genosid.
Pihak berkuasa memaklumkan 10 daripada 15 wilayah di seluruh negara, termasuk Havana, sudah disambungkan semula ke Sistem Elektrik Nasional.
Bagaimanapun, pengeluaran tenaga yang masih rendah menyebabkan bekalan elektrik belum pulih sepenuhnya di semua kediaman.
Syarikat pembekal elektrik Havana memaklumkan lebih 65 peratus kawasan di ibu negara yang mempunyai kira-kira 1.7 juta penduduk sudah kembali menerima bekalan elektrik.
Berbeza dengan gangguan sebelum ini, kekurangan bahan api menyukarkan usaha menghidupkan semula sistem selepas ia terputus pada tengah hari Isnin, sekali gus menyebabkan seluruh negara yang mempunyai 9.6 juta penduduk bergelap.
Pihak berkuasa berkata gangguan itu berpunca daripada turun naik voltan yang berlaku serentak dengan kapasiti penjanaan elektrik yang rendah sehingga menyebabkan rangkaian bekalan terputus.
Presiden Cuba, Miguel Díaz-Canel, menyalahkan dasar sekatan AS terhadap pulau itu sebagai punca krisis berkenaan dan menuduh Washington cuba “mencetuskan kebangkitan sosial melalui tekanan ekonomi”.
Beliau turut menyifatkan sekatan tenaga AS sebagai “bersifat genosid”.
“Tanpa bahan api untuk menghidupkan loji janakuasa, gangguan Sistem Elektrik Nasional berlarutan,” katanya menerusi akaun X miliknya pada Selasa.
Rangkaian elektrik Cuba kerap mengalami gangguan menyeluruh atau sebahagian akibat infrastruktur yang uzur serta kekurangan bahan api.
Bagaimanapun, gangguan bekalan harian menjadi lebih buruk selepas Washington mengenakan sekatan petroleum pada Januari lalu yang menyukarkan penghantaran bahan api bagi menggerakkan set penjana elektrik.
Kemudahan itu berfungsi melengkapkan pengeluaran tenaga daripada tujuh loji janakuasa termoelektrik yang sudah berusia dan sering mengalami kerosakan atau perlu dihentikan untuk kerja penyelenggaraan.
Loji janakuasa terbesar negara, Loji Janakuasa Termoelektrik Antonio Guiteras di barat Cuba, masih ditutup bagi tujuan pembaikan.
Sejak awal tahun ini, loji berkenaan dihentikan operasi lebih 15 kali akibat kerosakan berulang.
Keadaan itu menyebabkan gangguan bekalan elektrik berterusan yang kini melebihi 30 jam berturut-turut di Havana, manakala di beberapa wilayah lain gangguan berlarutan selama beberapa hari, meskipun kerajaan melaksanakan program pembinaan taman solar secara besar-besaran sejak dua tahun lalu. – AFP