Costa Rica dedah komplot bunuh Presiden

Presiden Costa Rica’s, Rodrigo Chaves / Foto AFP

SAN JOSÉ, 14 Januari – Kerajaan Costa Rica pada Selasa mengumumkan pihak berkuasa telah membongkar satu komplot untuk membunuh Presiden Rodrigo Chaves, menjelang pilihan raya nasional yang dijadualkan berlangsung pada 1 Februari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak berkuasa Costa Rica membongkar komplot untuk membunuh Presiden Rodrigo Chaves berdasarkan maklumat sumber sulit.
  • Seorang suspek wanita sedang disiasat; identiti dan motif tidak didedahkan, tiada bukti kaitan dengan pilihan raya setakat ini.
  • Ketegangan politik meningkat menjelang pilihan raya, termasuk kebimbangan campur tangan asing selepas lawatan Presiden El Salvador.

Ketua Direktorat Perisikan dan Keselamatan Negara Costa Rica, Jorge Torres, berkata agensi itu menerima maklumat daripada satu sumber sulit yang mendakwa seorang pembunuh upahan telah dibayar untuk membunuh Chaves.

Peguam Negara, Carlo Diaz, mengesahkan seorang suspek wanita sedang disiasat, sambil menyifatkannya sebagai “sangat aktif di media sosial”. Namun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai identiti atau motif suspek tersebut.

Diaz turut menegaskan setakat ini tiada bukti yang mengaitkan komplot berkenaan dengan pilihan raya presiden dan parlimen yang akan datang.

Presiden Chaves, yang dihalang oleh perlembagaan daripada bertanding untuk penggal kedua berturut-turut, menyokong bekas menterinya, Laura Fernandez, sebagai calon penggantinya.

Fernandez kini mendahului tinjauan pendapat dengan kempen keras membanteras pengedaran dadah, yang dipersalahkan atas peningkatan keganasan di negara Caribbean itu.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan pembangkang memberi amaran mengenai kemungkinan campur tangan asing dalam pilihan raya, khususnya susulan lawatan rasmi Presiden El Salvador, Nayib Bukele, ke Costa Rica pada Selasa.

Bukele dijadualkan meletakkan batu asas pembinaan sebuah penjara mega baharu yang dimodelkan berdasarkan Pusat Kurungan Keganasan (CECOT) di El Salvador, yang terkenal dengan pendekatan keras terhadap suspek kumpulan jenayah.

Ribuan lelaki muda kini ditahan tanpa pertuduhan di CECOT sebagai sebahagian daripada perang Bukele terhadap kumpulan geng.

Beberapa warga Venezuela yang sebelum ini dihantar pulang dari Amerika Syarikat ke pusat tersebut mendakwa mereka diseksa semasa ditahan, menurut laporan selepas pembebasan mereka.- AFP