
LAHORE, 1 Julai – Sekurang-kurangnya 14 kanak-kanak maut manakala beberapa lagi cedera selepas bumbung sebuah pusat tuisyen di kawasan Kahna, Lahore runtuh, pada Selasa.
- Kerja pembinaan dijalankan di tingkat atas ketika kelas sedang berlangsung di tingkat bawah.
- Dua individu, termasuk pemilik bangunan, ditahan bagi membantu siasatan.
- Penduduk setempat membantu menyelamatkan mangsa sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
- Presiden menzahirkan takziah, menggesa perketatkan peraturan; runtuhan sering berlaku akibat penguatkuasaan lemah dan bahan tidak piawai.
Menurut pihak perkhidmatan kecemasan Pakistan, operasi menyelamat dimulakan sejurus menerima laporan kejadian, dengan kebanyakan mangsa yang terperangkap terdiri daripada kanak-kanak.
Siasatan awal polis mendapati kerja pembinaan sedang dijalankan di tingkat atas pusat tuisyen itu ketika kelas sedang berlangsung di tingkat bawah.
Polis turut memaklumkan dua individu, termasuk pemilik bangunan, telah ditahan bagi membantu siasatan.
Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari, menzahirkan rasa dukacita atas tragedi itu serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau turut mendoakan semua mangsa yang cedera segera pulih, selain menegaskan keperluan memperketatkan peraturan keselamatan bangunan bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Terdahulu selepas kejadian, orang ramai berkumpul di kawasan runtuhan, manakala ambulans dan anggota polis mengepung lokasi kejadian.
Ahli keluarga mangsa dilihat tidak dapat menahan kesedihan, malah ada yang menangis ketika mengenal pasti mangsa.
Seorang peniaga, Muhammad Mustafa, berkata beliau bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Kami kebetulan melalui jalan ini sebelum dimaklumkan bumbung bangunan runtuh. Kami terus ke lokasi dan melihat kanak-kanak terperangkap di bawah runtuhan. Dengan bantuan penduduk setempat, kami berjaya menyelamatkan beberapa orang kanak-kanak,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Sulman Ahmed, berkata penduduk setempat bertindak pantas sebelum pasukan penyelamat tiba.
“Apabila kami tiba, bumbung sudah runtuh sepenuhnya. Terdapat kira-kira 35 kanak-kanak di dalam bangunan itu. Pasukan penyelamat tiba kemudian, tetapi penduduk sekitar merupakan pihak pertama yang mengeluarkan mangsa dari runtuhan,” katanya.
Insiden bangunan runtuh sering berlaku di Pakistan berikutan penguatkuasaan kod bangunan yang lemah, selain penggunaan bahan binaan yang tidak memenuhi piawaian, aspek keselamatan juga kerap diabaikan bagi mengurangkan kos pembinaan. – VIORY