
KATHMANDU, 2 September – Kejadian runtuhan glasier dahsyat di Nepal yang mencetuskan banjir besar merupakan isyarat amaran terhadap risiko perubahan iklim yang semakin meningkat.
- Nepal menggesa sokongan antarabangsa berdasarkan keadilan iklim, bukan sekadar bantuan kebajikan.
- Nepal menyumbang sedikit kepada pelepasan global tetapi terkesan teruk oleh perubahan iklim.
- Bencana merosakkan nyawa dan infrastruktur, menuntut sokongan jangka panjang untuk penyesuaian dan pemulihan.
- Saintis amarkan pencairan glasier Himalaya meningkatkan risiko kepada kawasan hiliran termasuk seluruh Asia Selatan.
Amaran itu dikeluarkan Menteri Luar Nepal, Shisir Khanal kepada AFP pada Selasa.
“Bencana berkenaan perlu dilihat sebagai isyarat amaran terhadap risiko yang ditimbulkan perubahan iklim kepada Nepal,” katanya hampir seminggu selepas gelombang air beku, batu dan sisa runtuhan seperti tsunami melanda serta memusnahkan kawasan berkenaan.
Lebih 1,000 mayat telah ditemukan, manakala hampir 4,500 orang masih hilang di Nepal serta merentasi sempadan China di Tibet.
Khanal menggesa sokongan masyarakat antarabangsa diberikan atas dasar keadilan iklim dan bukannya sekadar bantuan amal.
Tegasnya, negara yang sebahagian besarnya bergantung kepada sektor luar bandar dengan populasi 30 juta itu hanya menyumbang sebahagian kecil daripada pelepasan gas rumah hijau global berbanding negara perindustrian.
“Kami menggesa masyarakat antarabangsa supaya memandang serius perubahan iklim yang berlaku di Himalaya dan menanganinya dengan segera.
“Sokongan kepada Nepal tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut bantuan atau kebajikan, sebaliknya turut perlu dilihat daripada perspektif keadilan iklim,” tegasnya.
Beliau berkata, bencana berkenaan bukan sahaja menjejaskan kehidupan penduduk, malah turut merosakkan infrastruktur awam.
Sekali gus, menggariskan keperluan sokongan jangka panjang bagi membantu Nepal menyesuaikan diri serta mengurangkan kesan cabaran perubahan iklim yang semakin meningkat.
Walaupun punca sebenar keruntuhan glasier itu masih belum dapat dipastikan, perubahan iklim menyebabkan glasier mencair di seluruh dunia, sekali gus meningkatkan risiko berlakunya bencana seumpama itu.
Saintis berkata banjaran Himalaya, yang merupakan rangkaian gunung tertinggi di dunia, semakin cepat mencair susulan peningkatan suhu global.
“Kita bukan sahaja perlu berusaha memelihara kawasan pergunungan, tetapi turut mendapatkan sokongan bagi membantu Nepal menyesuaikan diri dan mengurangkan kesan cabaran perubahan iklim yang dihadapi negara itu serta rantau ini.
“Dalam jangka panjang, kesannya akan dirasai dengan lebih besar di kawasan hiliran, termasuk di seluruh Asia Selatan, apabila ais terus mencair,” tambah Khanal lagi. – AFP