Banjir kilat di Limpopo, penduduk terputus hubungan

Penduduk Phalaborwa, Afrika Selatan, Peter Malungwane, 66, di tepi sebuah jambatan yang rosak teruk akibat banjir di wilayah itu/foto REUTERS

PHALABORWA, 17 Januari – Banjir kilat yang teruk di Wilayah Limpopo, Afrika Selatan, mengakibatkan beberapa jambatan runtuh dan sungai melimpah, sekali gus menjejaskan laluan utama dan kehidupan penduduk setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jambatan runtuh dan sungai melimpah menyebabkan jalan utama rosak serta menyulitkan pergerakan penduduk.
  • Bekalan asas terganggu: tiada air, elektrik dan rangkaian telekomunikasi, serta kekurangan makanan untuk penduduk.
  • Perkhidmatan cuaca ramal lebih banyak hujan; Kruger ditutup kepada pengunjung harian dan risiko banjir meningkat.

Paras air sungai yang melimpah menyebabkan jalan raya ditenggelami air dan rosak teruk. Menurut penduduk Phalaborwa, Peter Malungwane, 66, banjir itu menyukarkan pergerakan penduduk dan memutuskan bekalan penting.

“Tiada air, tiada elektrik, malah rangkaian telekomunikasi turut terputus. Kami terpaksa mematikan telefon dan tiada bekalan makanan untuk dimakan. Kebanyakkan penduduk terpaksa beratur untuk mendapatkan roti kerana mereka tidak boleh memasak,” katanya.

Perkhidmatan Meteorologi Afrika Selatan meramalkan lebih banyak hujan di Limpopo dalam beberapa hari akan datang, meningkatkan kebimbangan bahawa krisis banjir ini mungkin bertambah buruk.

Khamis lalu, Pihak berkuasa Afrika Selatan menutup Taman Negara Kruger kepada pengunjung harian susulan beberapa sungai melimpah selepas beberapa hari hujan lebat.

Bagi Pelancong yang sudah menginap di penginapan dalam taman, mereka dibenarkan untuk kekal di situ, kecuali di kawasan berhampiran Sungai Letaba yang terpaksa dipindahkan.

Rakaman televisyen Reuters menunjukkan kawasan luas taman itu diliputi air deras, dengan hanya pucuk pokok kelihatan di atas permukaan air.

Jurucakap Kruger, Reynold Thakhuli, berkata banjir di Afrika Tenggara kini semakin kerap dan teruk akibat perubahan iklim yang menyebabkan ribut lebih kuat.

“Air ini bergerak sangat deras,” katanya sambil berdiri di tepi jalan yang ditutup dan separuh tenggelam di bawah air deras.

Beliau menambah bahawa pintu masuk Phalaborwa berhampiran Lapangan Terbang Kruger turut ditutup selama 24 jam untuk dipantau.

Beliau menegaskan, pihak berkuasa “tidak terlalu bimbang tentang haiwan,” kerana hidupan liar biasanya berpindah ke kawasan tinggi dalam keadaan banjir. – REUTERS