
KABUL, 21 Julai – Sekurang-kurangnya 20 orang maut manakala lebih 100 lagi masih hilang susulan banjir yang melanda wilayah Nuristan, Afghanistan pada Isnin.
- Agensi Pengurusan Bencana Afghanistan mengesahkan lebih 80 orang cedera akibat banjir di wilayah Nuristan.
- Bencana menjejaskan Parun dan kawasan berhampiran sempadan Pakistan; beberapa kakitangan kerajaan termasuk datuk bandar masih belum ditemukan.
- Usaha pencarian giat di kawasan bertimbun lumpur dan bongkah batu besar; banjir semakin kerap kerana kerentanan Afghanistan terhadap perubahan iklim.
Agensi Pengurusan Bencana Afghanistan (ANDMA) mengesahkan, lebih 80 orang turut cedera dalam kejadian berkenaan.
Bencana alam itu bukan sahaja menjejaskan Parun, pusat pentadbiran wilayah Nuristan, malah beberapa kawasan lain berhampiran sempadan Pakistan.
Pejabat Gabenor Nuristan memaklumkan, beberapa kakitangan kerajaan termasuk datuk bandar Parun antara individu yang masih belum ditemukan.
Usaha pencarian mangsa sedang giat dijalankan pasukan penyelamat bersama penduduk setempat dengan fokus tertumpu di kawasan yang dipenuhi timbunan lumpur dan bongkah batu besar.
Afghanistan antara negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim, dengan kejadian banjir dilaporkan semakin kerap berlaku.
Pada April lalu, kira-kira 150 orang terbunuh akibat banjir dan hujan lebat di Afghanistan, manakala sekurang-kurangnya 24 lagi maut dalam kejadian banjir pada bulan berikutnya. – AFP