
SYDNEY, 15 Julai – Australia akan menggubal undang-undang baharu bagi mengawal penggunaan tenaga dan air oleh pusat data kecerdasan buatan (AI), selain memperkukuh perlindungan hak cipta karya kreatif, kata Perdana Menteri, Anthony Albanese.
- Cadangan akan dibincang bersama pemimpin negeri dan wilayah bulan depan sebelum dimuktamadkan.
- Lobby oleh Anthropic mencetuskan bantahan pemuzik, penulis dan penerbit; Albanese tegas karya kreatif tidak boleh digunakan tanpa kebenaran.
- Pejabat khas di Jabatan Perdana Menteri akan menyelaras dasar AI, mempercepat kelulusan dan menambah keyakinan pelabur antarabangsa.
Albanese berkata, rang undang-undang itu dijangka dibentangkan tahun depan sebagai sebahagian daripada usaha membina keyakinan terhadap penggunaan AI, di samping melindungi kepentingan negara dan keselamatan nasional.
Beliau berkata, cadangan itu akan dibincangkan bersama pemimpin negeri dan wilayah Australia pada bulan depan sebelum dimuktamadkan.
Menurutnya, walaupun Australia mendahului negara lain dalam mengehadkan penggunaan media sosial oleh kanak-kanak, cabaran mengawal pembangunan AI jauh lebih besar dan memerlukan tindakan segera.
“Jika kita terus berdiam diri, kita akan ketinggalan. Australia mampu menjadi lebih daripada sekadar pusat penyimpanan data untuk produk AI yang dibangunkan di luar negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Universiti Sydney pada Rabu.
Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas syarikat pemula berpangkalan di Amerika Syarikat, Anthropic, dilaporkan melobi kerajaan Australia supaya meminda undang-undang hak cipta bagi memudahkan latihan model AI.
Perkembangan itu mencetuskan bantahan dalam kalangan pemuzik, penulis dan penerbit yang menggesa kerajaan mempertahankan hak cipta serta hasil karya mereka.
Albanese menegaskan kandungan kreatif Australia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk melatih sistem AI tanpa kebenaran pemiliknya.
“Tiada syarikat boleh menggunakan buku, muzik, karya seni atau laporan berita dari Australia untuk membangunkan atau melatih AI tanpa kawalan daripada penciptanya. Jika tidak, ia adalah satu bentuk kecurian,” katanya.
Beliau berkata, piawaian baharu itu akan mengenakan tanggungjawab undang-undang yang jelas terhadap pusat data berskala besar, termasuk mewajibkan kemudahan itu menyumbang lebih banyak tenaga kepada grid elektrik berbanding jumlah yang digunakan, mengurangkan penggunaan air serta mengelakkan persaingan penggunaan tanah dengan projek perumahan.
Menurut data kerajaan, pelaburan dalam pusat data menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi Australia bagi tempoh tiga bulan berakhir Mac lalu.
Albanese berkata, kerajaan setakat ini belum melihat kesan ketara AI terhadap pasaran pekerjaan negara.
“Kita tidak sepatutnya melihat AI sebagai ancaman kepada pekerjaan yang baik. Sebaliknya, kita perlu memanfaatkannya untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau turut mengumumkan penubuhan sebuah pejabat khas di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras dasar berkaitan AI dan memantau pelaksanaannya.
Menurutnya, langkah itu akan meningkatkan keyakinan pelabur antarabangsa menerusi proses kelulusan yang lebih jelas, pantas dan sistem pematuhan yang lebih cekap. – AFP