Apple ubah suai ciri antijejak iPhone susulan tekanan Jerman, EU

Foto REUTERS

SAN JOSE, 17 Ogos – Apple membuat perubahan pada penggesa pemberitahuan antijejak aplikasi iPhone di negara-negara Eropah susulan kritikan daripada pengawal selia persaingan dan bantahan industri pengiklanan, sekali gus menamatkan siasatan oleh Pejabat Kartel Persekutuan Jerman, lapor agensi berita Jerman (dpa).

RINGKASAN BERITA AI
  • Penggesa pemberitahuan membenarkan pengguna menghalang aplikasi mengumpul data aktiviti silang untuk tujuan pengiklanan.
  • Pejabat Kartel Jerman bimbangkan Apple memberi layanan lebih baik kepada perkhidmatan sendiri berbanding pesaing di bawah undang-undang data.
  • Perubahan: hilang perkataan 'penjejakan', boleh minta kebenaran semula selepas setahun, pilihan bertukar kepada 'Benarkan' atau 'Tolak', hanya dipaparkan di EU.

Penggesa pemberitahuan itu membolehkan pengguna menghalang aplikasi daripada mengumpul maklumat aktiviti mereka di seluruh perkhidmatan lain bagi tujuan pengiklanan. Industri pengiklanan menentang ciri berkenaan, manakala Apple menegaskan hak privasi pengguna perlu diutamakan.

Pejabat kartel Jerman sebelum ini meluahkan kebimbangan bahawa Apple mengenakan syarat yang lebih ketat ke atas penyedia aplikasi pihak ketiga berbanding perkhidmatan milik syarikat itu sendiri.

Di bawah undang-undang data Jerman bagi syarikat gergasi digital, sesebuah syarikat tidak boleh “memberikan layan yang lebih baik kepada tawaran sendiri berbanding pesaing. Di sinilah timbulnya kebimbangan persaingan kami,” kata Presiden Pejabat Kartel Andreas Mundt dalam satu kenyataan.

Perubahan berkenaan merangkumi penghapusan perkataan “penjejakan” daripada halaman pilihan. Pengendali aplikasi juga dibenarkan untuk meminta kebenaran pengguna sekali lagi selepas tempoh setahun bagi menjejak aktiviti mereka di seluruh aplikasi dan laman sesawang lain.

Selain itu, olahan ayat bagi pilihan yang diberikan turut diubah. Sebelum ini, pilihan pertama tertera “Minta Aplikasi Jangan Jejak” dan pilihan kedua “Benarkan”. Selepas ini, pilihan yang diberikan secara terus ialah “Benarkan” atau “Tolak” .

Versi baharu penggesa pemberitahuan ini hanya akan dipaparkan kepada pengguna yang kini berada di kawasan Kesatuan Eropah (EU), tanpa mengira negara asal mereka. -BERNAMA-dpa

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.