
WASHINGTON, 10 Jun – Tentera Amerika mengaku telah melancarkan beberapa serangan di kawasan sekitar Selat Hormuz.
- CENTCOM mendakwa tindakan itu bertujuan "mempertahankan diri", menyasarkan sistem pertahanan udara, stesen kawalan darat dan tapak radar Iran.
- Media Iran laporkan letupan di Qeshm dan Bandar Abbas; IRGC membedil sebuah pangkalan tentera Amerika di Bahrain sebagai balasan.
- Menteri Luar Abbas Araghchi menggesa tentera asing keluar Selat Hormuz, memberi amaran risiko tembakan silang dan menegaskan perairan dikongsi Iran dan Oman.
Menurut Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), serangan kononnya bertujuan “mempertahankan diri”, menyasarkan pertahanan udara Iran, stesen kawalan darat dan tapak radar pemantauan.
Media-media Iran melaporkan letupan kedengaran di Qeshm dan bandar pelabuhan, Bandar Abbas di perairan selatan Iran, awal pagi waktu tempatan.
Sebagai tindak balas, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) membedil sebuah pangkalan tentera Amerika di Bahrain.
IRGC menerusi kenyataan yang dilapor media Iran menyatakan, serangan oleh Amerika telah mengakibatkan sebuah menara telekomunikasi di Sirik rosak, serta memusnahkan dua tangki air, di bandar berkenaan.
Dalam pada itu, tentera asing digesa meninggalkan Selat Hormuz dan kawasan sekitarnya.
Menerusi platform ‘X’, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memberi amaran, mereka berdepan risiko berterusan menjadi mangsa tembakan silang sekiranya terus berada di kawasan berkenaan.
Tegasnya, Selat Hormuz bukan perairan antarabangsa, sebaliknya dikongsi Iran dan Oman.
Amaran dikeluarkan Araghchi selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berikrar untuk bertindak balas susulan dakwaan Iran menembak jatuh helikopter Apache di laluan berkenaan. – AFP