Ahli astronomi kesan planet baharu bersaiz bumi

Planet yang dikenali sebagai HD 137010 b itu dikesan menggunakan data daripada misi K2 teleskop angkasa Kepler milik NASA yang dikumpulkan pada 2017. Foto/AFP

ISTANDBUL, 30 Januari – Ahli astronomi mengenal pasti sebuah planet baharu bersaiz Bumi yang mengorbit bintang seakan Matahari kira-kira 146 tahun cahaya dari Bumi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Planet HD 137010 b dikesan menggunakan data K2 dari misi Kepler, dianalisis oleh pasukan antarabangsa diketuai Alexander Venner.
  • Planet dianggarkan 6% lebih besar daripada Bumi dengan tempoh orbit kira-kira 355 hari.
  • Peluang sekitar 50% berada dalam zon boleh dihuni, tetapi suhu permukaan mungkin sangat sejuk, mendekati -94°F.

Perkembangan itu sekali gus mencetuskan minat baharu terhadap dunia berhampiran yang berpotensi menyokong kehidupan, menurut satu kajian terkini.

Planet yang dikenali sebagai HD 137010 b itu dikesan menggunakan data daripada misi K2 teleskop angkasa Kepler milik NASA yang dikumpulkan pada 2017.

Ia dianalisis oleh pasukan antarabangsa diketuai penyelidik Universiti Southern Queensland (USQ) Alexander Venner.

Penemuan berkenaan diterbitkan pada Selasa dalam jurnal The Astrophysical Journal Letters.

Menurut kajian berkenaan, planet itu dianggarkan kira-kira enam peratus lebih besar daripada Bumi dan mempunyai tempoh orbit sekitar 355 hari.

Penyelidik, Chelsea Huang berkata, planet itu mempunyai kira-kira 50 peratus kemungkinan berada dalam zon boleh dihuni bintangnya, walaupun suhu permukaannya mungkin lebih hampir kepada Marikh dan berpotensi serendah –94 darjah Fahrenheit.

“Apa yang sangat menarik tentang planet bersaiz Bumi ini ialah bintangnya hanya kira-kira 150 tahun cahaya dari sistem suria kita.

“Planet terbaik seterusnya di sekeliling bintang seperti matahari dalam zon boleh didiami, iaitu Kepler-186f adalah kira-kira empat kali lebih jauh dan 20 kali lebih malap,” katanya. – Bernama