
GENEVA, 1 Julai – Penularan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) mengancam puluhan ribu pekerjaan dan menyebabkan kerugian berjumlah AS$3.6 bilion kepada Afrika.
- UNDP memberi amaran Ebola mencetuskan krisis sosioekonomi meluas, berisiko menjerumuskan 985,000 orang ke dalam kemiskinan.
- Kenaikan kemiskinan dijangka memberi kesan lebih teruk kepada wanita di DRC dan negara jiran seperti Uganda, Rwanda dan Sudan Selatan.
- Langkah pembendungan seperti kuarantin perlu, namun sekatan perjalanan dan perdagangan menjejaskan ekonomi tempatan serta mata pencarian sektor tidak formal.
- WHO rekodkan 1,333 kes Ebola disahkan, 399 kematian dan 189 pesakit pulih; tiada vaksin atau rawatan spesifik untuk varian Bundibugyo.
Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP)memberi amaran, epidemik itu telah mencetuskan krisis sosioekonomi yang meluas dan berisiko menjerumuskan 985,000 orang ke kancah kemiskinan.
“Krisis Ebola berisiko menghapuskan puluhan ribu pekerjaan, menjejaskan perkhidmatan pendidikan dan penjagaan kesihatan, serta menyebabkan kerugian sehingga AS$3.6 bilion kepada ekonomi Afrika sekiranya kesan serantau dan global terus meruncing,” menurut kenyataan UNDP pada Selasa.
Menurut UNDP, peningkatan kadar kemiskinan dijangka memberi kesan lebih besar kepada wanita terutama di DRC serta negara jirannya seperti Uganda, Rwanda dan Sudan Selatan.
“Walaupun ancaman segera terhadap kesihatan awam adalah serius dan memerlukan langkah pembendungan seperti kuarantin, beberapa sekatan yang lebih meluas terhadap perjalanan dan perdagangan secara tidak langsung telah menjejaskan ekonomi tempatan serta mata pencarian sektor tidak formal.”
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), DRC merekodkan 1,333 kes Ebola yang disahkan dengan 399 kematian, manakala 189 pesakit telah pulih.
Pengarah UNDP Rantau Afrika, Ahunna Eziakonwa menegaskan, Ebola bukan sekadar krisis kesihatan.
Beliau berkata, walaupun dalam senario asas menyaksikan penularan virus berjaya dibendung di DRC dan Uganda, kesan ekonominya tetap dijangka “amat teruk”.
DRC dijangka mengalami kerugian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar melebihi AS$1 bilion serta kehilangan kira-kira 55,000 pekerjaan.
Wilayah Ituri di timur laut DRC yang dilanda konflik dikenal pasti sebagai pusat penularan terkini Ebola.
Wabak demam berdarah itu yang berpunca daripada spesies Bundibugyo sehingga kini masih belum mempunyai vaksin atau rawatan khusus. – AFP