
BEIRUT, 3 Mac – sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh manakala 154 cedera dalam serangan udara yang dilancarkan rejim zionis di selatan dan timur Lubnan.
- Serangan udara Israel di selatan dan timur Lubnan menyebabkan kematian besar dan kecederaan ramai.
- Lebih 28,500 penduduk terpaksa dipindahkan akibat serangan dan ancaman keselamatan.
- Israel mendakwa serangan itu balasan terhadap serangan dron dan roket yang disifatkan sebagai ancaman.
- Ketegangan meningkat selepas serangan ke atas Iran dan pembunuhan pemimpin tertinggi yang dipersalahkan oleh pihak tertentu.
Kerajaan Lubnan dalam satu kenyataan memaklumkan serangan berkenaan turut memaksa lebih 28,500 penduduk dipindahkan.
Serangan berkenaan berlaku selepas Israel mendakwa Hezbollah melepaskan beberapa dron dan roket ke kompleks pertahanan misil Mishmar HaCarmel di selatan Haifa.
Hezbollah pula berkata serangan berkenaan merupakan tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, dan mempertahankan Lubnan dan rakyatnya.
Sementara itu, jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee berkata, “Tentera Pertahanan Israel telah memulakan serangan ke atas sasaran milik organisasi pengganas Hezbollah di seluruh Lubnan.”
Serangan berkenaan susulan tindakan Amerika Syarikat dan Israel yang menyerang Iran pada Sabtu lalu.
Tehran bertindak balas dengan menyerang aset Israel dan AS di Asia Barat, termasuk serangan yang dilaporkan di beberapa negara di seluruh Teluk.
Pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, disahkan maut dalam serangan tersebut. – VIORY